Thursday, August 20, 2009

Tertegak Islam itu di atas hujah



Pendahuluan


Saya terpanggil untuk menulis mengenai satu topik yang selalu kita dengar ini, tetapi semakin dilupakan oleh umat Islam umumnya dan para daie khususnya. Insya-Allah, di sini sedikit tazkirah buat diri saya yang kerdil ini dan saudara-saudara seperjuangan sekalian. Sekiranya ada manfaat, maka sebarkan. Sekiranya ada mudarat, maka perbetulkan.


Keadilan Islam


Wahai saudara,

Islam itu adalah satu agama yang adil. Agama yang adil bermaksud agama yang meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dari aspek ini juga kita menyedari bahawa Islam adalah agama yang membawa manusia kepada kebenaran dengan cara mereka berwaspada dalam menentukan sesuatu hukuman kepada kaum yang lain. Firman Allah swt:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Al Maidah : 8)


Di sini saudara, Allah menyebut bahawa keadilan itu akan menghampirkan kita kepada taqwa dan kezaliman itu menjauhkan kita dari taqwa. Ini kerana Allah swt mewajibkan kita agar menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah swt.


Mengambil Bukti Secara terburu-buru


Wahai saudara,


Kesedihan kita dan kebencian kita kepada sesuatu kaum itu selalu menjadikan mata dan hati kita buta untuk menilai dengan baik sesuatu perkara itu. Ini menjadikan kita pada asalnya manusia yang mahu mendekatkan diri kita dengan taqwa, akhir menjerumuskan diri kita jauh dari taqwa.

Allah swt berpesan kepada kita:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” ( Al Hujurat: 6)


Seperti yang kita telah baca dari kitab-kitab seerah dan kitab-kitab tafsir, bahawa kisah ini menyentuh mengenai pemungut zakat yang bernama Al Walid bin Uqbah yang memungut zakat dari Bani Mustaliq. Bani Mustaliq mendengar ada utusan ar rasul datang, mereka hendak menyambutnya secara beramai-ramai. Tetapi Al Walid menyangkakan bahawa bani Mustaliq hendak menyerang dirinya. Lalu dia membawa satu berita palsu bahawa Bani Mustaliq tidak mahu membayar zakat dan mahu menentang Ar rasul saw. Marah dengan keadaan ini, maka Ar Rasul mahu menghantarkan satu pasukan perang sehingga turunnya ayat ini.


Ayat ini jelas memberi pesan agar berhati-hati dengan orang yang fasik. Ayat ini tidak menyebut mengenai orang kafir dan dari sebab turun ayat pun jelas menunjukkan bahawa Al walid adalah sahabat nabi saw.

Cuma, perbuatannya yang terburu-buru itu, menjadikan dirinya seorang yang berdosa dan digelak fasik di dalam ayat ini.


Hadis rasullulah s.a.w: Pembuktian itu berasal dari Allah, sedangkan ketergesa-gesaan itu berasal dari setan. (Dikeluarkan at-Thabari)


Jelas bahawa ketergesa-gesaan kita membuat andaian dan juga hukuman terhadap sesuatu perkara ini, boleh menjerumuskan kita menjadi orang yang fasik. Begitu juga halnya dengan orang yang menyebarkan berita palsu, atau berita yang diragui kesahihannya.


Islam bukan agama Syakhsiah


Nabi saw sendiri tidak menyeru manusia agar ta’asub dan mentaqdiskan diri baginda. Malah sewaku zaman hayat baginda Allah swt menurunkan ayat berikut:

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh)”. ( Ali Imran : 144)


Ayat ini adalah ayat yang di bacakan oleh Abu Bakar As Siddiq r.a sewaktu beliau naik ke mimbar selepas kewafatan nabi saw. Ramai yang masih tidak percaya bahawa Ar Rasul mereka yang tercinta telah meninggalkan mereka termasuklah Umar Al Khattab r.a. Tetapi Abu Bakar r.a yang jelas tentang prinsip Islamnya berkata:

"Wahai manusia, sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah meninggal dunia. Sesiapa yang menyembah Allah sesungguhnya Allah hidup tidak mati. (dan beliau membacakan ayat) “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu), (QS Ali ‘Imran: 144).

Ramai kita kini tertipu dengan hakikat ini dan menganggap seseorang yang kita sanjungi itu mulia sehingga kita mentaqdiskan mereka.

Sedangkan Islam mengajarkan kita bahawa “sesiapa sahaja boleh dipersoalkan kata-katanya melainkan kata Ar rasul.


Taat


Ketaatan kita hendaklah jelas yakni kepada Allah dan RasulNya. Kemudian Allah memberi sedikit ruang untuk kita taat kepada pemimpin selagi mana dia taat kepada Allah dan RasulNya.

Ketaatan kita kepada pemimpin tidak bersifat total atau absolute, tetapi ketataan yang berkondisi (conditional loyalty). Selagimana pemimpin tersebut tidak menyalahi prinsip Islam dari dasarnya, maka dari situ lah kita harus mentaatainy selama mana kita telah memberi taat setia kita kepadanya.


Tertipu


Tetapi ramai dari kita tertipu dari hakikat ini. Ramai dari kita telah lupa hakikat tarbiyah yang telah di ajarkan oleh Ar Rasul kepada kita. Ramai dari kita mempelajari tetapi tidak memahami, dan lagi ramai dari kita memahami tetapi tidak mengimani apa yang kita ketahui ini.

Kadang kita terlalu percaya kepada sesuatu individu tentang satu berita sehingga kita lupa untuk menilai berita tersebut dari sudut yang lainnya. Malah selalu juga kita menutup telinga, memejamkan mata dan mematikan akal kita apabila kita diberikan hujah yang lebih baik dan lebih benar.

Kita ikutlah amalan para salaf, dan pegangan Imam Shafie yang sentiasa berdoa “Ya Allah, semoga kebenaran itu datang dari mulut (hujah) lawanku”.

Sepatutnya kita bersikap sebegini dan jangan bersikap menzalimi ilmu dan akal kita. Buka pemikiran dan buka diri kita untuk mendengar hujah dari semua pihak. Biar kita menjadi adil dalam menimbang neraca kebenaran sesuatu perkara tersebut.


Penutup


Pada setiap perjuangan umat Islam itu, Allah akan turunkan ujian demi ujian kepada hambaNya yang mengaku dirinya beriman. Firman Allah:

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? (Al Ankabut:2)


Patutkah kita mengaku diri kita beriman sedangkan bila diberikan ujian di antara hujah dan syakhsiah, kita lebih cenderung kepada yang terkemudian dari yang awalnya? Bila Allah datangkan satu berita kepada kita, kita tutup telinga kita untuk mendengar satu berita yang lain? Bila Allah telah meminta ketaatan kita, kita engkar kepada tetaatan tersebut hanya kerana perkara furuq yang tidak membolehkan kita mufaraqah dari barisan jundullah ini.


Wahai saudaraku, wahai aku. Semoga Allah mengampuni dosa kita, Semoga Allah mengampuni dosa kita... semoga Allah mengampuni dosa kita... dan semoga Allah menyelamatkan kita dari api nerakaNya.

No comments:

Post a Comment