Thursday, August 20, 2009

Petunjuk Jalan yang Panjang


Petunjuk Jalan yang Panjang
Oleh: Tok Janggut (tok_janggut11@yahoo.co.uk)

Hakikatnya manusia ini senantiasa berada di antara dua tarikan. Tarikan pertama ialah syariat dari Ilahi yang mahunya menyusuri jalan takwa, kebaikan dan ketulusan yang membimbing dia ke jalan yang benar dan selamat. Tarikan kedua pula ialah tarikan syaitan yang membawanya ke lembah kebinasaan.

Pada kebiasaannya tarikan pertama ialah tarikan yang lurus tetapi jalannya penuh dengan cubaan, dugaan dan rintangan. Lantas, mudah sahaja manusia berasa lemah, kalah atau hilang semangat untuk meneruskan perjalanan pada jalan ini. Namun begitu, harus disedari bahawa jalan yang penuh cubaan, dugaan dan rintangan tadi bukanlah jalan yang tidak boleh diharungi oleh manusia. Setiap cubaan, dugaan dan rintangan adalah dalam kapasiti kemampuan manusia. Firman Allah:

Allah tidak akan membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.
[Al Baqarah 2:286]

Pada kebiasaannya juga, tarikan yang kedua adalah tarikan yang penuh dengan keseronokan, bunga-bunga merah, nafsu dan kesenangan tetapi jalannya tidak akan membawa individu yang menyusurinya sampai kepada destinasi yang hendak dituju. Malah destinasi yang dibawanya adalah destinasi kebinasaan.

Hakikatnya juga bahawa jalan inilah yang selalu dipilih oleh akal-akal yang pendek, yang tertipu dan mereka yang tidak sabar serta cepat mengalah. Keseronokan-keseronokan dunia yang membawanya ke lembah kebinasaan ini dilihat sebagai suatu yang dapat juga menyelamatkannya. Walhal, sedar atau tidak jalan itu telah mendatangkan kemurkaan Allah ke atas dirinya.

Membicarakan satu petunjuk yang dapat menjadi pembimbing manusia dalam mengharungi kehidupan di dunia ini, tidak dapat tidak ia akan membawa kita melihat persoalan tersebut dari dua persepsi utama. Persepsi pertama ialah dengan kita melihat tanggungjawab diri sebagai seorang Muslim dan yang kedua dengan meninjau bagaimana halnya dunia memperlakukan umat manusia dan Muslim.

Tanggungjawab Sebagai Seorang Muslim

Satu ketika dalam perjalanan, Rasullulah shallallahu 'alaihi wasallam bersama sahabat baginda berhenti di bawah sebatang pokok. Dalam perteduhan tersebut, baginda memberi perumpamaan bahawa bandingan di antara manusia dan dunia adalah seolah seorang musafir yang berjalan di padang pasir dan dalam perjalanannya dia melalui sebatang pokok. Oleh kerana terlalu letih dia berhenti di bawah pokok tersebut untuk berteduh. Bila cukup sudah rehatnya, dia meneruskan perjalanan menuju ke tempat yang hendak dia tujui.

Baginda menyambung dengan mengatakan bahawa inilah gambaran perjalanan seorang manusia di dunia. Manusia dilahirkan ke dunia ini dari perut ibunya dan dia hidup hanya untuk sementara waktu. Sama ada dia suka atau tidak dia pasti akan menemui mati. Ini sebagaimana seorang musafir yang berteduh di bawah sebatang pokok yang akan meneruskan perjalanannya kerana tempat perteduhan itu bukanlah destinasi utamanya. Destinasi utama masih jauh. Sama ada dia suka ataupun tidak, dia perlu meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke destinasi utamanya.

Menyedari bahawa hidup kita di dunia ini hanya untuk sementara waktu, manusia memerlukan petunjuk yang boleh membimbingnya ke jalan yang boleh membawa kepada destinasi terakhir yang baik (husnul khatimah).

Ini kerana, seorang manusia yang datang ke bumi Allah, kalau sekiranya dia bukan seorang Islam, dia akan mencari petunjuk-petunjuk yang lain yang berlandaskan hawa nafsu dan tarikan syaitan. Tetapi bila mana seseorang itu dilahirkan sebagai seorang Muslim, dia mempunyai petunjuk yang akan membawa dirinya ke jalan yang lurus dan destinasi yang sebenar.

Persepsi ini akan membawakan kita kepada satu sahaja petunjuk kepada individu Muslim yakni al-Quran dan as-Sunnah kerana terbukti dengan keimanan dan realiti bahawa hanya petunjuk ini yang mampu memimpin diri kita.

Mengimani perkara ini, seseorang individu yang mengaku dirinya muslim tidak dapat lari daripada hakikat petunjuk ini. Namun begitu, terdapat juga umat Islam yang mengaku dirinya dipandu oleh al-Quran dan as-Sunnah tetapi hakikat sebenarnya al-Quran dan as-Sunnahlah yang dipandu oleh nafsunya.

Golongan yang memandu dan dipandu

Apa yang kita maksudkan dengan golongan yang memandu dan dipandu ialah golongan yang berhujah dan beriman dengan Al-Qur’an. Jelas bahawa apabila disebut al-Quran, ia juga merangkumi sunnah Rasullulah shallallahu 'alaihi wasallam. Hakikatnya terdapat dua golongan di dalam konteks perbincangan kita ini. Pertama ialah golongan yang memandu al-Quran sementara kedua ialah golongan yang dipandu oleh al-Qur’an.

Golongan yang memandu al-Quran banyak wujud pada ketika ini. al-Qur’an tidak membimbing mereka namun merekalah yang membimbing al-Qur’an.

Golongan yang memandu al-Quran banyak wujud pada ketika ini. Mereka menggunakan al-Qur’an dengan membacanya dan menafsirnya. Akan tetapi al-Qur’an tidak membimbingnya, namun merekalah yang membimbing al-Qur’an. Golongan ini apabila melihat satu situasi, peristiwa atau permasalahan dalam realiti kehidupan, mereka akan cuba mencari ayat-ayat al-Qur’an untuk menjustifikasikan situasi tersebut.

Apabila mereka berhujah para wanita muslimah tidak perlu bertudung, mereka memandu ayat al-Qur’an agar ia selari dengan pendapat bahawa bertudung itu tidak wajib, malah haram. Apabila mereka berhujah tidak perlunya hukum hudud, qisas atau yang sewaktu dengannya, mereka menggunakan al-Qur’an untuk membenarkan kata-kata mereka. Begitu juga apabila mereka kata tidak perlu kepada hadis atau sunnah Nabi kerana ia ditulis beratus tahun selepas Nabi wafat, mereka juga menggunakan nas al-Qur’an bagi memenuhi selera mereka.

Sebaliknya golongan yang dipandu oleh al-Qur’an adalah golongan yang melihat bahawa apa sahaja perilaku mereka, ia adalah di bawah batas dan sempadan al-Qur’an. Apabila syara’ (hukum yang jelas daripada al-Qur’an dan as-Sunnah) menyatakan ‘tidak boleh’, maka berhentilah mereka daripada melakukannya. Apabila syara’ memberikan kebolehan, mereka memanfaatkannya sambil berhati-hati daripada terlangar sesuatu yang berada di dalam wilayah ‘tidak boleh’. Golongan inilah yang saya lihat sebagai golongan yang dimaksudkan oleh Allah di dalam surah al-Anfal, ayat kedua:

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebutkan nama Allah, maka gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Allah, maka bertambahlah iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.
[Al Anfal 8:2]

Bayangkan ciri-ciri golongan yang dipandu oleh Al-Qur’an ini. Tidak sekadar taat apabila diperintahkan kepada mereka untuk melakukan sesuatu, malah apabila diperdengarkan nama Allah kepada mereka, gementar hati mereka kerana takut dan cinta kepada Allah. Apabila dibacakan ayat-ayat Allah kepada mereka, bertambahlah iman mereka lantas tetap teguh mereka kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala tanpa mereka berasa ragu-ragu kerana ragu-ragu bukanlah ciri orang yang beriman. Firman Allah:

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: “Kami dengar dan kami taat”, dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan.
[al-Nur 24:51]

Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).
[al-Hujurat 49:15]

Golongan kedua inilah yang dipanggil sebagai generasi al-Qur’an. Golongan yang menyerahkan diri mereka kepada Islam dan yang tunduk sujud bukan sahaja secara zahir tetapi juga secara batin dan rohani mereka. Golongan ini tidak akan duduk senang selagi mana al-Qur’an itu tidak memandu masyarakat mereka dan tidak menjadi perlembagaan negara mereka. Golongan ini tidak akan tidur lena selagi mana al-Qur’an itu letaknya hanya di para-para masjid dan sudut-sudut tertinggi almari di rumah tanpa dibaca dan dipraktikkan sepenuhnya.

Sayang sekali bagi umat Islam pada masa kini, majoriti pemimpin dan bijak pandainya adalah darpadapada golongan yang pertama. Majoriti daripada pengikutnya pula turut daripada golongan yang pertama. Maka benarlah kata Umar al-Khaththab dalam satu kisah yang meninggalkan kesan yang amat dalam kepada lipatan sejarah umat Islam.

Kisah Umar

Dari jauh, sayup-sayup kelihatan dua orang manusia sedang bergilir-gilir menunggang seekor unta di tengah-tengah padang pasir yang sangat luas. Arah yang dituju ialah sebuah kota yang baru sahaja dibuka oleh tentera Islam. Pada masa yang sama, di pintu gerbang kota, ribuan manusia sedang menunggu kedatangan seorang pemimpin yang amat disegani. Pada mereka yang belum pernah melihatnya, yang terbayang adalah kedatangan seorang pemimpin dengan bala tentera yang tidak terkira banyaknya. Sebahagian yang lain pula cuba membayangkan kedatangan seorang raja dengan segala kemewahannya. Setiap orang mempunyai andaian yang pelbagai.

Tiba-tiba seorang pemuda berteriak memberitahu ketibaan dua orang lelaki dengan seekor unta. Setiap orang tertanya-tanya: “Siapakan gerangannya, ke manakah tujuannya?”. Semakin hampir, semakin jelas bahawa yang datang itu merupakan orang yang ditunggu-tunggu. Sebahagian orang yang pernah melihatnya berteriak: “Amir al-Mukminin telah tiba”. Mereka yang tidak pernah melihatnya terpinga-pinga. Terbukti, anggapan mereka tentang pemimpin ini jauh meleset. Dengan hanya menaiki seekor unta, berpakaian dengan pakaian yang amat sederhana dengan ditemani oleh seorang lelaki yang kemudiannya diketahui adalah hamba, inilah rupa-rupanya pemimpin yang amat disegani rakan dan digeruni lawan.

Lalu bersegeralah manusia mengerumuni lelaki yang berada di atas unta. Sekali lagi, anggapan mereka meleset juga. Lelaki yang berada di atas unta rupanya adalah seorang hamba, manakala lelaki yang sedang berjalan dan memegang tali unta, itulah pemimpin agung, Amir al-Mukminin Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh. Keinsafan kemudiannya menyelubungi mereka apabila mendengar penjelasan si hamba:

Sejak keluar dari kota Madinah, kami bergilir-gilir menaiki unta ini dan apabila hampir sampai ke sini, giliran hamba pula untuk naik dan giliran Amir al-Mukminin untuk berjalan kaki. Walaupun hamba berusaha memberitahu baginda, tidak mengapa untuk baginda terus menaiki unta, namun baginda tetap berdegil untuk mengikut giliran yang sepatutnya. Hamba cuba memberi alasan bahawa adalah lebih mulia dan dipandang tinggi oleh para penduduk kota Baitul Maqdis jika sekiranya khalifah menunggang unta ketika memasuki kota. Namun Amir al-Mukminin telah memberikan pengajaran yang berharga kepada saya dengan berkata:

“Kita adalah suatu kaum yang telah dimuliakan oleh Allah dengan Islam. Jika sekiranya kita mencari kemuliaan (dan ketinggian di sisi manusia) selain daripada Islam, maka kita akan dihinakan oleh Allah.”

Demikianlah kebenarannya, bilamana kita sebagai individu muslim mula meninggalkan Islam dan mencari kemuliaan-kemuliaan lain, maka apa peliknya Allah Subhanahu wa Ta'ala menghinakan kita sebagaimana yang berlaku pada ketika ini.

Bagaimana Dunia memperlakukan Manusia dan Islam

Menyusuri persepsi pertama, ia tidak dapat tidak berkait rapat dengan persepsi kedua yang membawa kita ke arah meninjau persoalan yang lebih besar dan global. Adalah menjadi satu perkara yang dimaklumi bahawa kini umat Islam adalah umat yang tertindas lagi terhina. Di mana-mana sahaja umat Islam berada di muka bumi ini, maka di situlah mereka akan dipijak dan dinista. Segala sistem ciptaan manusia yang ada di dunia, kesemuanya adalah untuk kepentingan kuffar dan senantiasa mempunyai kesan yang akhirnya menindas kaum Muslim.

Adalah menjadi satu perkara yang dimaklumi bahawa kini umat Islam adalah umat yang tertindas lagi terhina. Di mana-mana sahaja umat Islam berada di muka bumi ini, maka di situlah mereka akan dipijak dan dinista.

Palestin merupakan contoh terbaik satu isu yang belum lagi selesai. Kita dapat lihat betapa buta dan bodohnya dunia mengangguk dan mengiyakan perampasan Palestin daripada penduduk asalnya untuk diserahkan kepada pendatang Yahudi. Tetapi bila mana penduduk Palestin cuba bangkit untuk menentang ‘rompakan’ daripada pihak Yahudi ini, dunia – termasuk sebahagian umat Islam sendiri - menghukum pejuang Palestin dengan gelaran pengganas dan penjenayah. Dunia menggambarkan seolah-olah merekalah musuh yang sewajibnya diperangi, sedangkan merekalah sebenarnya mangsa yang ditindas, dihalau dan dihina di atas tanah air mereka sendiri. Tetapi inilah hakikat dunia dan realiti yang ada pada masa sekarang walau bagaimana sekalipun kita cuba untuk menafikan dan menidakkan kewujudannya. Apa sahaja yang menguntungkan Barat, itulah adil bagi mereka dan apa sahaja yang menguntungkan Islam itulah satu aktiviti jenayah di mata mereka. Tuntasnya di sini, kita mengatakan bahawa dunia tidak pernah adil kepada manusia kerana kini dunia diperintah dan diperhambakan oleh manusia yang lainnya.

Konklusi

Dua perkara di atas yang saya bawa kepada perhatian para pembaca sekalian membawa kita kepada dua konklusi. Pertama, sebagai seorang Muslim, al-Qur’an dan as-Sunnah adalah asas utama yang harus digigit oleh setiap Muslim. Kedua, dalam suasana dunia yang tidak pernah berlaku adil kepada umat Islam, malah ke atas diri mereka sendiri, maka tidak ada sesuatu yang boleh mentadbir alam ini dengan cara yang adil melainkan Islam yang dipaksikan oleh al-Qur’an dan as-Sunnah.

Kesimpulan yang pertama mudah diterima oleh manusia dan tidak dipertikaikan. Tetapi persoalan utamanya, sejauh mana kita menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai petunjuk yang memandu kehidupan kita? Apabila sahabat menjadikan al-Qur’an dan as-Sunnah sebagai amalan, Allah memberikan mereka dunia dan akhirat. Tetapi bila kita mula meninggalkan al-Qur’an dan as-Sunnah, Allah menghinakan kita di muka bumi ini.

Apa perbezaan penerimaan Islam kita dan sahabat? Ada tiga perbezaaan yang paling ketara:

Pertama: Bila mana Islam diterima oleh sahabat, mereka menerima Islam seolah mereka baru sahaja dilahirkan. Mereka menjadikan Islam sebagai ‘agen’ yang membersihkan segala adab dan kepercayaan kurafat yang lampau. Berbeza dengan kita pada masa kini, kita menerima Islam sebahagian dan tetap berpegang kepada adab dan kepercayaan lampau pada sebahagian yang lain.

Kedua: Sahabat menerima al-Qur’an berbeza dengan cara kita menerima al-Qur’an. Mereka beramal dan yakin sepenuh hati dengan apa yang terkandung di dalam al-Qur’an. Kehidupan mereka tidak diasingkan antara dunia dan agama, di antara hak Allah dan hak individu. Bagi para sahabat, setiap perkara sama ada ia melibatkan akhlak, ibadah, jual beli, pentadbiran, politik, ketenteraan dan sebagainya, semuanya termasuk di dalam tatacara Islam itu sendiri. Mereka memahami Islam dalam konteks yang sempurna dan lengkap, tidak separa-separa sebagaimana yang berlaku masa kini.

Ketiga: Perbezaaan perasaan di antara para sahabat dan kita dalam menerima sesuatu ajaran. Umpamanya, apabila turun ayat pengharaman arak dan kewajipan hijab, tidak ada seorang pun sahabat yang mempersoalkan hukum tersebut. Para sahabat membanjiri jalan di Madinah dengan arak yang ditumpahkan manakala para wanita mengoyak lebihan kain mereka untuk menutup rambut dan kepala mereka.

Jalan ini mungkin panjang dan memiliki banyak cabaran di atasnya, namun inilah satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan umat Islam ke destinasinya yang sebenar, iaitu kejayaan di dunia dan akhirat.

Penutup

Berjaya atau tidak kaum kuffar memalingkan kefahaman umat Islam dapat dilihat apabila umat Islam masa kini mula meninggalkan terus al-Qur’an dan as-Sunnah. Malah umat Islam juga mula menyempitkan peranan al-Qur’an dan as-Sunnah daripada menjadi pemandu mereka. Kejayaan kaum kuffar bukan kerana kekuatan berada pada strategi mereka, tetapi kerana kelemahan yang membelenggu umat Islam itu sendiri. Tidak ada jalan keluar melainkan umat Islam itu sendiri membebaskan pemikiran mereka daripada jajahan kaum kufar dan kembali merdeka di atas pimpinan al-Qur’an dan as-Sunnah. Inilah jalan yang dilalui oleh Rasulullah shallahu 'alaihi wassalam dan generasi awal umat Islam. Jalan ini mungkin panjang dan memiliki banyak cabaran di atasnya, namun inilah satu-satunya jalan yang dapat menyampaikan umat Islam ke destinasinya yang sebenar, iaitu kejayaan di dunia dan akhirat.

No comments:

Post a Comment