Monday, August 24, 2009

ISA dari perspektif hukum Islam



1. Pengenalan ringkas

ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah satu akta yang diwujudkan oleh parlimen Malaysia yang mula berkuatkuasa di Malaysia Barat pada 1hb. Ogos 1960 dan di Malaysia Timur pada ‘Hari Malaysia’ (16hb. September 1963). Akta yang dinamakan sebagai Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) dan tersohor dengan singkatan ISA ini bertujuan mencegah tindakan ancaman oleh sekumpulan orang yang substantial dari dalam dan luar Malaysia:

i) untuk menyebabkan keganasan berancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; dan

ii) untuk mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, (terhadap) Kerajaan Malaysia yang sah ditubuhkan menurut undang-undang.

Sehingga tahun 1969, akta ini telah mengalami perubahan dan pindaan sebanyak tidak kurang daripada 15 kali, iaitu sekali pada tahun 1962, tiga kali pada 1963 dan juga 1964, dua kali pada 1965, masing-masing tiga kali pada 1966 dan 1969 dan sekali pada 1989. Sejak 1989, tiada sebarang pindaan tercatat sehingga hari ini. (Lihat Panduan Undang-Undang Am, Jilid I, International Law Book Services, K. Lumpur, 1998, m.s: 177)

Melihat kepada tujuan penggubalan akta ini, ia jelas bermaksud mencegah perbuatan keganasan yang mengancam keselamatan negara dan percubaan menggulingkan secara tidak sah (subversif) sebuah kerajaan yang tertubuh dengan sah di bawah perlembagaan negara (melalui pilihan raya demokrasi). Menurut bekas Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah, Majlis Peguam membantah akta ini kerana berpegang kepada sebab-sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua (Tun Abdul Razak) ketika beliau membentangkan ISA di Parlimen dahulu atas sebab ancaman subversif dan pengganas komunis (Mingguan Malaysia, 25 Jun 2000). Sepatutnya bila pergerakan dan ancaman komunis telah tidak wujud lagi, akta ini dimansuhkan terus oleh Parlimen. Tetapi nampaknya kelebihan majoriti 2/3 wakil UMNO/BN di Parlimen sehingga kini lebih berminat untuk mengekalkan akta ini demi survival kediktatoran mereka mencengkam rakyat yang tidak mengikut arus perdana.

Berdasarkan objektif mencegah ancaman keganasan dan subversif, nampaknya ia tidak bertentangan dengan prinsip maslahah `aammah(kepentingan awam) yang dibawa oleh Islam, jika kerajaan yang tertubuh itu adalah kerajaan yang adil dan menjalankan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat.

Tetapi sejarah membuktikan bahawa kewujudan akta ini menjadi lesen terbesar bagi pihak kerajaan untuk menjustifikasikan bahawa pihaknya sentiasa benar, sentiasa memelihara ketenteraman awam atau kepentingan rakyat. Dalam masa yang sama kerajaan memilikisuper power untuk menekan suara kedua atau pendapat alternatif yang cuba dibangkitkan oleh sejumlah rakyat, yang tidak mampu dijawab dengan memuaskan oleh kerajaan. Sedangkan rakyat yang memerhati dapat memahami bahawa ‘ketenteraman awam atau kepentingan rakyat’ yang dilaung-laungkan itu, dalam banyak keadaan adalah ketenteraman dan kepentingan politik dan kedudukan pihak pemerintah.

Penangkapan musuh-musuh politik para pemimpin pemerintah pada tahun 70-an seperti A. Samad Ismail, Said Azhari dan lain-lain, penangkapan di bawah Operasi Lalang 1987 dan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan seperjuangannya dengan bermulanya kes pemecatan beliau pada September 1998, adalah amat sukar untuk diterima bahawa akta ini digunakan untuk tujuan memelihara ketenteraman negara. Lebih-lebih lagi apabila memerhatikan sebab-sebab tangkapan di bawah akta ini terhadap tujuh aktivis reformasi pada 10 dan 11 April lepas (beberapa hari menjelang penyerahan memorandum rakyat kepada Suhakam, 14hb. April 2001), penangkapan Dr. Badrul Amin Baharom pada 20 April, Lokman Noor Adam 24 April dan Pak Din 27 April lalu.

2. Seksyen yang digunakan dalam kes tahanan ISA terkini

Dalam rencana ini saya akan menumpukan peristiwa penahanan sepuluh orang (setakat ini) aktivis reformasi sebagai bahan kajian, untuk melihat sejauh mana kedudukan akta yang juga ditafsirkan sesetengah orang sebagai ‘Ikut Suka Aku’ ini daripada pandangan Islam.

Menurut sumber polis, para aktivis reformasi itu ditahan di bawah seksyen (s.) 73 (1) ISA. Sebelum menyebutkan seksyen yang digunakan untuk membuat penahanan itu, eloklah kita sebutkan secara salinan semula beberapa seksyen penting yang menarik untuk kita ketahui daripada keseluruhan 85 seksyen (termasuk s. 9, s. 84 dan beberapa subseksyen yang telah dimansuhkan) yang terdapat di bawah akta ini.

Perlu diterangkan bahawa s. 8 akta ini dipecahkan kepada subseksyen-subseksyen seperti berikut:

S. 8 (1) “Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang adalah perlu dengan tujuan mencegahnya daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) mengarahkan bahawa orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh tidak lebih daripada dua tahun.

Melalui Akta A705 (1969) penambahan (pindaan) telah dibuat ke atas s. 8 (1) ini dengan menyatakan bahawa penahanan dalam ‘tempoh peralihan’ antara Akta ibu (iaitu akta asal, yang digubal pada 1960) dan Akta A705 ini (1969), adalah sah dan menurut undang-undang; dan dengan menyatakan bahawa “Tiada tindakan guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk , boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuatkuasanya Akta ini…

S. 8 (2) Dalam subseksyen (1) “perkhidmatan perlu”, ertinya apa-apa perkhidmatan, perniagaan, tred, perusahaan, pengilangan atau atau pekerjaan yang termasuk dalam Jadual Ketiga (senarai perkhidmatan perlu kepada orang awam – penyalin)

S. 8 (3) Tiap-tiap orang yang ditahan menurut suatu perintah tahanan hendaklah ditahan di mana-mana tempat (yang kemudian daripada ini disebut tempat tahanan) sebagaimana Menteri boleh mengarahkan dan mengikut apa-apa arahan yang dikeluarkan oleh Menteridan apa-apa kaedah yang dibuat di bawah subseksyen (4).

S. 8 (4) Menteri boleh melalui kaedah-kaedah memperuntukkan bagi penyenggaraan dan pengurusan tempat-tempat tahanan dan bagi disiplin dan perlakuan terhadap orang-orang yang ditahan di dalamnya, dan boleh membuat kaedah yang berlainan bagi tempat-tempat tahanan yang berlainan.

S. 8 (5) Jika Menteri berpuas hati bahawa bagi apa-apa maksud yang tersebut dalam subseksyen (1) adalah perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau bahawa sekatan-sekatan dan syarat-syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu adalahtidak perlu untuk menahannya, Menteri boleh membuat satu perintah (yang kemudian daripada ini disebut perintah sekatan)mengenakan ke atas orang itu semua atau apa-apa sekatan dan syarat berikut:

(a) bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktiviti dan tempat kediaman dan pekerjaannya;

(b) bagi melarangnya daripada berada di luar rumah di antara apa-apa waktu sebagaimana dinyatakan dalam perintah, kecuali di bawah kebenaran suatu permit bertulis yang diberi oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan sedemikian;

(c) bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya dalam apa-apa cara pada sesuatu masa dan kepada mana-mana pihak bverkuasa atau orang sebagaimana dinyakatan dalam perintah itu;

(d) bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada mana-mana organisasi atau persatuan, atau daripada mengambil bahagian dalam aman-mana aktiviti politik; dan

(e) bagi melarangnya daripada mengembara luar dari sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu melainkan mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang sebagaimana dinyatakan dalam perintah itu.

S. 8 (6) Tiap-tiap perintah sekatan hendaklah terus berkuatkuasa bagi apa-apa tempoh, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan di dalamnya, dan boleh meliputi suatu arahan oleh Menteri bahawa orang yang berkenaan dengannya arahan itu dibuat, hendaklah mengikat suatu bon dengan atau tanpa penjamin dan dengan apa-apa jumlah sebagaimana dinyatakan bagi pematuhan sewajarnya sekatan-sekatan dan syarat-syarat yang dikenakan ke atasnya.

S. 8 (7) Menteri boleh mengarahkan supaya jangka masa apa-apa perintah tahanan atau perintah sekatan dilanjutkan bagi apa-apa tempoh selanjutnya, tidak lebih daripada dua tahun, sebagaimana dinyatakan olehnya, sama ada –

(a) atas alasan-alasan yang sama seperti mana perintah asal dibuat;

(b) atas alasan-alasan berlainan daripada alasan-alasan atas mana perintah asal dibuat; atau

(c) sebahagiannya atas alasan-alasan yang sama dan sebahagiannya atas alasan-alasan yang lain;

Dengan syarat bahawa jika suatu perintah tahanan dilanjutkan atas alasan-alasan yang berlainan atau sebahagiannya atas alasan-alasan yang berlainan, orang yang kepadanya perintah itu berkaitan, hendaklah mempunyai hak-hak yang sama di bawah seksyen 11 (salinan perintah daripada Menteri dan hak rayuan kepada Lembaga Penasihat – penyalin) seolah-olah perintah yang dilanjutkan sebagaimana tersebut dahulu adalah suatu perintah baru, dan seksyen 12 (1) (Lembaga Penasihat menimbang dan membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh rayuan diterima atau lebih lanjut berdasarkan perkenan Yang di-Pertuan Agong – penyalin) adalah terpakai dengan sewajarnya.

S. 8 (8) Menteri dari semasa ke semasa dengan notis bertulis boleh menyampaikan kepada seseorang yang adalah subjek suatu perintah sekatan mengubah, memotong atau menambah apa-apa sekatan atau syarat yang dikenakan ke atas orang itu oleh perintah itu, dansekatan-sekatan dan syarat-syarat yang diubahkan dan apa-apa sekatan atau syarat tambahan yang dikenakan hendaklah, melainkan terlebih dahulu dipotong, terus berkuatkuasa bagi bahagian tempoh yang belum tamat yang dinyatakan di bawah subseksyen (6) atau (7)”.

Selain subseksyen di atas, ada beberapa pecahan lain lagi yang tidak perlu disebutkan semuanya di sini.

Manakala S. 73 (1) pula menyebutkan, “Mana-mana pegawai polis boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang sebelum selesai siasatan yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai-

a) bahawa ada alasan-alasan yang akan menjustifikasikan penahanannya di bawah seksyen 8; dan

b) bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”

S. 73 (2) “Mana-mana pegawai polis, sebelum selesai siasatan, boleh menangkap dan menahan tanpa waran mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu mengenai identitinya atau mengenai maksud-maksud dia berada di tempat di mana dia dijumpai, dan pegawai itu mengesyaki orang itu telah bertindak atau hampir bertindak dengan apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam atau kepada kehidupan ekonominya.”

S. 73 (3) “Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak lebih daripada enam puluh haritanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8.”

Berdasarkan sebutan seksyen 73(1) di atas, adalah difahami bahawa aktivis reformasi itu ditahan dengan kuasa polis atas alasan-alasan yang sama seperti alasan arahan penahanan oleh Menteri dalam seksyen 8(1), iaitu untuk mencegah daripada bertindak dalam apa-apa cara yang mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia; ATAU atas alasan bahawa para aktivis itu “telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak dengan apa-apa cara yang mendatangkan mudarat, kepada keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau kepada penyenggaraan perkhidmatan yang perlu di dalamnya atau kepada kehidupan ekonominya.”

3. Tuduhan militan

Maka Ketua Polis Negara pun memberitahu alasan penahanan mereka itu ialah kerana mereka didapati merancang mencetuskan demontrasi jalanan besar-besaran bercorak militan menjelang pilihan raya umum 2004. Dikatakan ‘bercorak militan’ kerana kononnya pihak polis mendapat maklumat mereka merancang menggunakan alat letupan seperti bom dan molotov cocktail. Namun sehingga kini polis belum berupaya menunjukkan kepada umum barang-barang kes, memaklumkan tempat di mana dan bila mereka membuat pertemuan sulit itu atau ucapan sulit mereka yang dikatakan ingin mengadakan demonstrasi ‘militan’. Apabila disoal tentang bukti ‘rancangan jahat’ aktivis reformasi itu di Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri Chor Chee Heung berkata itu ‘top secret’ polis, tak boleh ditunjuk atau diberitahu kepada umum.

Satu perkara yang amat tidak masuk akal, bahan bukti dan bukti tuduhan dianggap sebagai ‘top secret’. Kalau begitu sesiapa pun boleh ditahan oleh polis dan boleh diarah ditahan oleh Menteri Dalam Negeri dengan alasan ‘mengancam keselamatan awam’. Bila ditanya apakah bukti orang itu dituduh mengancam keselamatan awam, pihak berwajib pun menjawab, “itu top secret polis, tak boleh bagi tau…”.

Ketua Polis Negara (KPN) pula apabila didesak bertubi-tubi oleh wartawan tentang adakah polis menemui sebarang senjata sebelum atau semasa penahanan aktivis itu, jawapan yang diberikan amat tidak bertanggungjawab, “… the tongue is mightier than weapons…”. (Harakah, 1-15 Mei, 2001) Ini jelas menunjukkan bahawa tiada sebarang senjata yang boleh dijadikan bukti kewujudan unsur perjuangan reformasi secara ‘militan’ yang menjadi alasan penahanan aktivis itu. Satu-satunya senjata yang mereka miliki ialah ‘lidah,’ yang disifatkan oleh KPN sebagai ‘lebih bahaya daripada senjata’. Jadi mereka ditangkap kerana berjuang dengan senjata ‘lidah’.

Nampaknya di Malaysia sekarang, bercakap dan berucap menjadi kesalahan, apabila ucapan dan percakapan itu tidak searus dengan aliran perdana yang memerintah. Polis boleh menangkap anda kerana bersenjatakan lidah (atau pena) mengkritik elit politik negara atas dakwaan membangkitkan perjuangan ‘militan’ dan ‘mengancam keselamatan negara’. ‘Militan’ tidak lagi merujuk kepada senjata api, bom dan pertempuran berdarah, tetapi dengan tafsiran baru iaitu ‘senjata lidah yang lebih bahaya daripada senjata api’.

Ini sudah jadi macam sebuah police state, atau sebuah negara yang mempunyai polis rahsia seperti Israel. Polis menjadi polis, penyiasat, pendakwa dan hakim dalam satu masa untuk menjatuhkan hukuman di mahkamahnya sendiri (ibu pejabat atau balai polis). Apa sudah jadi dengan ‘negara Islam’ Malaysia ini? Polis bukan lagi memberi ketenteraman kepada rakyat, tapi sudah jadi alat untuk menekan dan menyakitkan rakyat, bermaharajalela dan berlagak seperti samseng di bawah seksyen 73 ISA, terutama terhadap rakyat yang tidak menyokong kerajaan.

Apa tidak samsengnya kalau segala tindakannya langsung tidak boleh dipersoal? Kalau dipersoal pun, si penyoal tidak berhak untuk mendapat jawapan tentang alasan sebenar penahanan itu dan bukti bagaimana alasan itu timbul. Polis juga mendapat kuasa menceroboh tanpa arahan mahkamah (waran) premis-premis persendirian seperti tindakan ala Desprado yang berlaku semasa penahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di rumahnya. Polis juga telah membuktikan samsengnya di bawah akta ini melalui peristiwa lebam mata bekas Timbalan Perdana Menteri itu semasa dalam tahanan. Bahkan polis diberi lesen untuk melepaskan tembakan jika orang yang diperintah untuk ditahan cuba melarikan diri – S. 74 (2) ISA. Ini juga semacam polis rahsia Israel, Mossad.

Mungkin polis berhujah mereka bertindak menurut kuasa dan undang-undang yang diperuntukkan dalam ISA. Undang-undang itu diluluskan oleh Parlimen yang dianggotai oleh wakil-wakil rakyat sejak 1960. Soalnya adakah undang-undang yang bertentangan semangat demokrasi, Deklarasi Hak Asasi Manusia, Perlembagaan, lebih-lebih lagi bertentangan dengan hukum Islam, wajib dilaksana dan dikuatkuasakan juga oleh polis yang bertanggungjawab kepada ‘negara Islam’ Malaysia ini? Sedangkan banyak laporan tentang salah laku anggota pemerintah yang tidak dibuktikan proses penyiasatannya oleh polis, apatah lagi hendak menangkap. Dalam menguatkuasakan undang-undang yang memberi keuntungan kepada pemerintah dan melemahkan pembangkang, polis bertindak tegas seperti malaikat yang melaksanakan perintah Tuhan secara mutlak sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah ayat al-Quran yang bermaksud;

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu-batan, ia dijaga oleh para malaikat yang kasar lagi keras, sedikit pun tidak mengingkari perintah Allah dan melakukan apa sahaja yang diperintahkan.” (al-Tahrim: 6)

Dalam menguatkuasakan ISA ini, polis seolah-olah telah mempertuhankan orang yang memerintah undang-undang draconian itu digunakan, tanpa sebarang bantahan, seperti malaikat yang tidak membantah perintah Tuhan. Malaikat terpuji dengan sifat itu, tetapi manusia terkeji apabila bersifat seperti malaikat terhadap manusia lain yang diberi kedudukan seperti tuhan.

Tulisan ini tidak sekali-sekali berniat untuk memburukkan imej polis di mata masyarakat, tetapi dalam kes penahanan ISA akhir-akhir ini, untuk ke sekian kalinya mempamerkan imej yang buruk itu. Dan ini juga tidak menggambarkan semua unit polis, kerana unit-unit yang lain didapati menjalankan tugas dengan baik dan cemerlang demi ketenteraman rakyat. Sekiranya apa yang ditulis tentang penahanan ISA kali ini tidak benar, masyarakat akan menolak mentah-mentah tulisan ini. Saya juga sedar, dengan menulis rencana ini, bahawa saya terdedah kepada pendakwaan di bawah beberapa akta reka cipta penjajah (yang dikekalkan oleh rejim UMNO/BN) seperti Akta Hasutan dan Akta ISA sendiri. Tetapi demi Islam yang benar, demi Allah s.w.t. Tuhan sekalian alam, demi Muhammad s.a.w. yang membawa ajaran rahmat untuk seluruh alam, saya menggagahkan diri untuk mencegah kemungkaran ISA setakat kemampuan saya dengan cara ini.

4. Respon media kerajaan

Pihak kerajaan dan penyokongnya sudah pasti mengatakan penahanan di bawah ISA ini wajar, dan kesal kerana kerajaan kononnya dituduh mencabul hak asasi manusia. Para pengampu yang dulu pernah ditahan di bawah akta yang sama pun kali ini menyokong penuh penahanan lapan aktivis itu sambil memberi kepercayaan kononnya polis mesti bertindak berlandaskan ‘bukti kukuh’. Ini juga seolah-olah meletakkan pasukan polis sebagai satu pasukan ‘malaikat’ yang tak pernah silap. Polis buatlah apa sahaja pun, sudah pasti polis betul, walaupun gagal membuktikan tuduhan ke atas orang yang kena tahan.

Cuma seorang kolumnis Berita Harian (edisi 28 April 2001) yang agak rasional dalam kolumnya ‘Bila Sauh Dilabuh’. Wartawan veteran itu juga pernah diISAkan pada tahun 70-an selama hampir lima tahun tanpa tuduhan berasas dan sebarang perbicaraan. Beliau berpendapat bahawa ISA sering digunakan oleh pihak berkuasa untuk menentang suara yang tidak sehaluan, yang bukan komunis. Pihak yang memangsai beliau pada 70-an itu juga ialah para pemimpin UMNO, tegasnya. Dan UMNO itu jugalah yang menerkam dan menggigit mangsanya hari ini dengan kuku dan taring ISA.

Sedangkan inilah satu bentuk kediktatoran (istibdad) dan perhambaan (isti`bad), apa sahaja yang dilakukan oleh pihak yang ada kuasa, justifikasinya adalah benar dan betul. Rakyat juga wajib menerimanya sebagai betul dan adil. Demi Allah, inilah gambaran masyarakat manusia yang hidup di zaman Firaun dulu. Apa sahaja kata Firaun, maka dia pasti betul. Apa sahaja tindakan orang suruhan Firaun (al-Quran menamakan mereka sebagai al-Mala’), maka sudah pasti benar kerana mereka bertindak berasaskan ‘bukti kukuh’ dan ‘sah’ menurut timbangan undang-undang Firaun. Hari ini ISA adalah undang-undang yang sah menurut pertimbangan ISA yang diwujudkan di zaman ancaman komunis, BUKAN sah menurut perlembagaan negara, deklarasi hak asasi manusia, apatah lagi menurut prinsip keadilan Islam.

Keangkuhan mereka yang memiliki kuasa amat melampau. Cadangan sebuah suruhan jaya yang ditubuhkan khas oleh Parlimen untuk memantau kebebasan asasi di Malaysia (Suhakam) dalam sebuah negara demokrasi dikatakan hanya semata-mata cadangan dan kerajaan tidak terikat dengan cadangan itu. Ada pula yang mengatakan Suhakam tidak berhak mempertikai tindakan tidak demokratik orang suruhan kerajaan (polis), kerana kononnya Suhakam tidak diberi tanggungjawab menjaga keselamatan awam.

Polis pula nampaknya berdolak-dalik. Mula-mula KPN berkata boleh buat permohonan rasmi untuk bertemu dengan aktivis reformasi yang ditahan itu dan tiada masalah untuk menimbang permohonan yang mengikut prosedur (Utusan Malaysia, 13 April 2001). Kini, mahkamah diberitahu bahawa KPN tidak membenarkan lawatan terhadap tahanan kerana tidak mahu menjejaskan siasatan (Mingguan Malaysia, 29 April). Apakah jenis siasatan pun kita tak tahu, sehingga nak bertemu dan melihat sekejap mangsa tahanan pun tak boleh. Apa yang hendak disiasat sehingga perlu ditahan selama 60 hari tanpa arahan hakim di mahkamah, melainkan pegawai polis itu sendiri yang menjadi hakim dan menjatuhkan hukuman 60 hari penjara. Cuma kita pernah dengar daripada bekas Pengarah Cawangan Khas, Datuk Mohd Said Awang memberitahu mahkamah bahawa polis mengamalkan teknik torture (fizikal dan mental) dan brainwash untuk mengubah pendirian mangsa kepada pendirian yang sama dengan kehendak polis. Ini dinamakan proses turn-over atau neutralise. Mungkin ini yang memerlukan masa sehingga 60 hari dan perbuatan kotor yang tiada peri kemanusiaan ini perlu dirahsiakan daripada pengetahuan awam, termasuk Suhakam.

Adakah polis memiliki sebarang hak untuk menyekat wakil Suhakam, ahli keluarga dan doktor daripada bertemu dengan tahanan ISA? Ataupun kerana ada sesuatu perkara yang hendak disembunyikan? Kemungkinan polis melakukan sesuatu di luar bidang kuasa dan undang-undang tidak dapat ditolak lagi apabila ada bukti kes mata lebam angkara perbuatan jahat orang yang berpangkat KPN juga (kini bekas). Jaminan mulut Timbalan KPN, Datuk Jamil Johari bahawa ‘semua tahanan selamat di bawah jagaan polis dan tiada siapa yang lebih selamat jagaannya daripada polis’, tidak mudah untuk diterima begitu saja. Ini memandangkan bekas KPN itu dulu pun bermanis muka di depan orang awam kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam jagaan polis dengan selamat dan beliau sihat walafiat. Sedangkan dia baru sahaja selesai memukul mangsa ISA sehingga pengsan dan lebam mata yang kesan deritanya ditanggung mangsa itu sehingga sekarang. (Sehingga saat ini diberitakan enam tahanan Isa tersebut telah dibenarkan bertemu anak isteri mereka)

Itulah dia gambaran nasib ‘penjenayah’ yang dihukum menurut ISA. Kesalahannya ialah memerangi kerajaan dengan senjata ‘lidah’ yang dianggap lebih bahaya daripada senjata api. Soalnya sekarang, (kalau benar demonstrasi jalanan mengancam keselamatan), sekiranya salah satu cadangan Suhakam (yang telah dicadangkan oleh Barisan Alternatif lama sebelum kewujudan Suhakam) diterima pakai, iaitu berkenaan hak berhimpun di tempat yang terkawal seperti stadium, dewan seperti di PWTC, tanah lapang hak persendirian dan lain-lain seperti yang dibenarkan kepada perhimpunan anjuran UMNO/BN, adakah para aktivis reformasi itu akan berarak dan berdemonstrasi lagi di tengah jalan? Tetapi kerajaan nampaknya tidak berani membenarkan perhimpunan aman di tempat yang terjamin keamanannya itu dengan menggunakan kuasa polis (tidak mengeluarkan permit perhimpunan) berbanding kalau perhimpunan itu anjuran UMNO/BN. Bahkan kalau anjuran UMNO/BN, tiada permit polis pun tidak dikira perhimpunan haram walaupun perhimpunan yang membakar api perkauman. Jadi perhimpunan yang tiada permit hanya haram untuk BA, tidak untuk UMNO/BN.

Lebih merimaskan lagi apabila ada orang yang berada di kelas intelek tetapi telah memberi pandangan yang mencemarkan intelektualismenya dengan mendakwa Suhakam menyusahkan kerajaan dan memberi pandangan yang sama dengan suara minoriti iaitu pembangkang (kenyataan seorang menteri luar yang berkelulusan undang-undang). Kenyataan ini telah membodohkan si penanya dan si penjawab yang mengadakan wawancara yang disiarkan oleh sebuah akhbar perdana yang tabiatnya menyiarkan berita politik yang meloyakan dengan perencah pembohongan (seperti mengatakan John R. Mallot dan para pemimpin BA menghadiri ‘pertemuan sulit’ KeADILan di Kuala Lumpur). Para wartawannya pula nampak terlalu bodoh dan kehingusan tentang undang-undang perlembagaan apabila mengemukakan soalan (sebenarnya pegangan) di depan Timbalan Pengerusi Suhakam kononnya ‘Suhakam jelas hanya condong kepada pihak pembangkang sahaja’ dan mendakwa ‘Suhakam sebagai lebih sudu daripada kuah’. (Lihat Mingguan Malaysia, 29 April 2001)

Namun inilah mentaliti pihak kerajaan dan para penyokong kerajaan. Mereka seolah-olah telah menelan kepercayaan bahawa kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang diturunkan dari langit (the revealed rulers) atau pemimpin kerajaan itu semua telah dilahirkan, bahkan telah ditakdirkan sejak azali untuk menjadi pemimpin kerajaan Malaysia, bukan menjadi kerajaan atas dasar pilihan raya demokrasi dan mereka hanyalah wakil-wakil kepada rakyat yang berkuasa. Oleh itu, rakyat tidak harus membantah atau merentangi arus perdana kerajaan ‘yang diturunkan dari langit’ walaupun kerajaan berada dalam situasi yang salah (antara kesalahannya ialah mengekalkan ISA yang zalim dan bercanggah dengan nilai keadilan sejagat). Pihak penyokong kerajaan seolah-olah telah menjadikan diri mereka berfikir seperti hamba kulit hitam di Eropah yang mempercayai bahawa tuan mereka tidak boleh dilawan kerena tuan itulah yang memberi mereka makan. Macam mana zalim pun tuan itu, dia mesti dipatuhi. Kalau tidak si hamba tidak boleh hidup, kerana bekalan makanan hanya terdapat di tangan si tuan.

Ini sebenarnya satu bentuk pengabdian kepada al-Toghut (iaitu segala perkara selain Allah s.w.t. yang ditaati tanpa soal), sedangkan setiap rasul diutuskan kepada setiap umat untuk menghapuskan pengabdian kepada al-Toghut ini. Maksud firman Allah s.w.t:

Sesungguhnya Kami telah utuskan rasul bagi setiap umat untuk menyeru supaya mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi al-Toghut…” (al-Nahl: 36)

5. ISA undang-undang draconian zaman purba dan pertengahan

Raja Namrud, dinasti Firaun dan pemerintahan Raja-Paderi (atau King-Pope) di Eropah terkenal dalam sejarah manusia mengamalkan undang-undang memaksa rakyatnya tunduk tanpa soal kepada pemerintah, peraturan siapa berkuasa dia pasti betul. Cuma mereka mungkin tidak mempunyai undang-undang yang bertulis seperti ISA di Malaysia dan beberapa negara lain.

Pemerintahan campuran King-Pope zaman pertengahan di Eropah (antara 500 – 1500 Masihi) mengamalkan peraturan rakyat wajib mengikut pendapat pemerintah sehingga diwujudkan Court of Inquisition (Mahkamah Pemeriksaan) untuk memastikan rakyat taat tanpa sebarang soal. Sesiapa yang didapati ataupun disyaki mengeluarkan pendapat bertentangan dengan pemerintah akan dihukum bunuh termasuk dibakar hidup-hidup. Ramai saintis dihukum bunuh atau penjara kerana mengeluarkan pendapat baru yang bertentangan dengan arus perdana istana-gereja. Inilah antara faktor yang membangkitkan rakyat melakukan revolusi dan reformasi agama pimpinan Martin Luther pada 1517 untuk menentang pemerintahan istana yang dicorakkan oleh gereja. Akhirnya masyarakat Eropah menukar sistem pemerintahan daripada beraja mutlak (sistem feudal) kepada demokrasi bebas dan daripada beragama di bawah payung gereja kepada sekularisme yang membuang agama acuan gereja.

ISA adalah umpama peraturan yang diamalkan oleh Court of Inquisition di Eropah dulu. Polis-polis yang menguatkuasakan peraturan ISA itu adalah sama dengan para Inquisitors yang merisik, menangkap, mengurung dalam bilik gelap, menyiksa tanpa peri kemanusiaan dan menafikan hak bertemu keluarga dan membela diri bagi orang tahanan. Penderaan fizikal dan mental dilakukan selagi tahanan tidak mengaku salah atau berjanji untuk mengubah pendirian.

Polis Cawangan Khas di Malaysia menamakan proses pemeriksaan/siasatan Inquisitor ini sebagai proses neutralise atau turn-over. Hak untuk menangkap tanpa waran diberikan kepada polis hanya berdasarkan syak, bukan bukti. Tempoh tahanan untuk proses ‘siasatan’ yang sebenarnya neutralise dan turn-over itu memakan masa sehingga 60 hari tanpa arahan mahkamah. Tempoh 60 hari itu hakikatnya adalah ‘hukuman’ yang dijatuhkan oleh polis, bukan tempoh siasatan. Undang-undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam (tidak termasuk masa perjalanan yang perlu) dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu (Perkara 5 Fasal 4, Perlembagaan Persekutuan).

Selepas itu Menteri Dalam Negeri boleh mengarahkan supaya tempoh tahanan disambung maksimum dua tahun-dua tahun jika menteri itu ‘berpuas hati’ bahawa tahanan adalah ‘perlu’ untuk mencegah tindakan yang ‘mengancam keselamatan negara’. Di sini menteri pula berkuasa menjadi hakim yang menjatuhkan hukuman penjara, juga tanpa hak untuk membela diri bagi tertuduh. Ini juga bertentangan dengan Perlembagaan seperti tersebut di atas.

6. ISA dari perspektif Islam

Berbalik kita kepada persoalan ISA dari perspektif Islam. Bagaimanakah pendirian Islam terhadap undang-undang atau akta yang sebegini menindas rakyat yang tidak sehaluan dengan kerajaan? Apakah ada dalam peruntukan syariat Islam sebarang hukum yang membenarkan pihak kerajaan melakukan tangkapan dan tahanan tanpa bicara terhadap yang tertuduh?

Untuk menjawab persoalan ini, kita terpaksa membuka Al-Quran, kitab hadis dan kitab feqah tentang hukum dan peraturan dalam hubungan rakyat-pemerintah.

Al-Quran memerintahkan supaya para pemerintah yang mewakili rakyat ditaati selepas ketaatan kepada Allah s.w.t. dan Rasul-Nya s.a.w. Allah s.w.t. berfirman maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman, taatilah kamu kepada Allah, taatilah kamu kepada Rasul dan Ulil Amri (wali, penjaga, ketua dan pemerintah) di kalangan kamu, sekiranya kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu merujuk Allah (al-Quran) dan Rasul (al-Sunnah) sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari Akhirat…” (al-Nisa’: 59)

Dalam mentaati Ulil Amri ini, sudah tentu bukan ketaatan yang mutlak kerana sekiranya begitu, ia (Ulil Amri) itu telah menjadi al-Toghut dan ini bertentangan dengan kehendak ayat al-Nahl: 36 yang dibawakan sebelum ini. Sedangkan ketaatan kepada Allah dan Rasul itu tidak boleh dijual beli atau dikompromi dengan sesuatu apa pun. Itulah keimanan yang sejati. Ketaatan yang dikompromi dengan selain Allah dan Rasul adalah ketaatan puak munafiqin yang berpura-pura beriman di atas kekufuran yang diselindungi.

Jadi Ulil Amri yang wajib ditaati ialah pemerintah yang telah taatkan Allah dan Rasul sedangkan dia tidak mengeluarkan perintah melainkan yang bertepatan ataupun tidak bercanggah dengan perintah Allah dan Rasul sahaja. Tatkala Ulil Amri itu mengeluarkan perintah atau undang-undang yang bercanggah dengan peraturan Islam, maka tiada lagi ketaatan kepada Ulil Amri itu, bahkan haram mentaatinya melainkan dalam keadaan terpaksa seperti diugut bunuh. Ini adalah hukum untuk semua orang Islam, termasuklah polis. Ini bertepatan dengan ajaran baginda s.a.w. dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Tiada ketaatan dalam keadaan maksiat kepada Allah, ketaatan hanyalah dalam perkara makruf” (Sahih Al-Bukhari 9/109; Sahih Muslim, Bab al-Imarah 8/39; dan lain-lain)

Sebagai sebuah agama yang lengkap, Islam tidak mengabaikan perbincangan hukum dalam hubungan rakyat -pemerintah. Bahkan ada bab khusus yang membahaskan persoalan ini dalam kitab feqah yang dikarang oleh ulama Islam sebagai susunan kepada perundangan lengkap yang wujud secara berselerak dalam al-Quran dan hadis. Bab tersebut dinamakan Bab al-Bughah (Bab Tentang Pemberontak Bersenjata) dalam kitab-kitab feqah.

Dalam membincangkan bab ini, satu hakikat yang wajib disedari ialah Ulil Amri ketika zaman ulama penulis kitab-kitab itu merupakan pemerintah yang sedang mentadbir sebuah daulah (negara) Islam dengan mendaulat al-Quran dan al-Sunnah sebagai sumber perundangan dan pentadbiran mereka.(Perlu disebutkan bahawa sistem khilafah yang bertunjangkan al-Quran dan al-sunnah telah dihapuskan secara rasmi oleh si laknat Mustafa Kemal Attartuk pada Mac 1924). Walaupun di kalangan khalifah yang menjadi pemerintah ketika itu ada yang disejarahkan sebagai zalim atau fasiq (tanpa pengesahan jelas tentang kezaliman mereka selain daripada tulisan para penulis buku sejarah), namun perundangan masih bersumberkan dua sumber wahyu Allah s.w.t. itu.

Ulil Amri umat Islam hari ini amat jauh berbeza kerana mereka bukan lagi menjalankan amanah rakyat di bawah daulah Islam, tetapi negara moden dengan sistem pentadbiran sekular yang dianugerahkan oleh penjajah kepada mereka setelah penjajah selesaikan ‘tugas’ mereka di tanah jajahan. Antara ‘tugas’ penjajah ialah (1) menyelenggarakan undang-undang di tanah jajahan berdasarkan restu kerajaan mereka; (2) menyediakan pelapis daripada kalangan anak tempatan yang mampu menyambung proses sekularisasi mereka selepas anugerah ‘kemerdekaan’. Para pelapis ini disediakan melalui sistem pendidikan dan media; dan (3) meninggalkan undang-undang (seperti undang-undang ISA) yang boleh memelihara survival kerajaan baru yang dikuasai oleh anak tempatan yang dididik mereka. Ulil Amri kini lebih berkiblatkan kemajuan barat daripada berkiblatkan petunjuk al-Quran dan sunnah. Bahkan ada antara mereka yang mencela perundangan Islam yang terhasil daripada petunjuk wahyu itu.

Apabila demikian kedudukan Ulil Amri umat Islam hari ini, maka mereka tiada hak lagi bagi mereka untuk mewajibkan ketaatan daripada rakyat berdasarkan ayat al-Nisa’: 59 itu.

Ulil Amri kini meneruskan penggunaan undang-undang zalim yang digunakan di zaman pemerintahan beraja dan diktator berkuku besi yang memaksa rakyat tunduk tanpa soal kepada pemerintah. Rakyat tidak mampu menyoal ‘kenapa?’, apatah lagi untuk berkata ‘tidak!’ terhadap kehendak pemerintah.

7. Al-Bughah dalam perundangan Islam

Hukum tentang al-Bughah (pemberontak/penceroboh) dalam perundangan Islam ditetapkan oleh ayat 9 Surah al-Hujurat yang bermaksud:

Dan sekiranya dua kumpulan orang beriman saling berperang maka damaikanlah antara kedua-duanya, jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh). Jika ia telah kembali, maka damaikanlah kedua-duanya dengan adil, dan berlaku saksamalah, sesungguhnya Allah suka orang-orang yang melakukan kesaksamaan.”

Dalam al-Sunnah juga terdapat beberapa hadis sahih tentang al-Bughah. Antaranya:

1. Daripada `Abdullah bin `Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

Sesiapa yang telah menghulurkan tangan dan hatinya (memberi bai`ah/kesetiaan) kepada seseorang pemimpin, maka hendaklah dia mentaatinya selagi termampu. Sekiranya datang seorang lain yang cuba menentangnya (memerangi pemimpin yang dibai`ah itu) maka pancunglah kepala penentangnya itu.” (Riwayat Muslim)

2. Daripada Ibn `Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalau dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Daripada `Awf bin Malik al-Asyja`ie beliau berkata, “aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu kasihi mereka dan mereka kasihi kamu, kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan untuk kamu. Seburuk-buruk pemimpin ialah yang kamu benci mereka dan mereka bencikan kamu, kamu laknat mereka dan mereka melaknat kamu.” Kami berkata, “Wahai Rasulullah, bolehkah kami memerangi mereka?” Baginda menjawab, “Jangan! Selagi mereka bersembahyang bersama kamu kecuali orang yang diperintah oleh seorang pemimpin yang melakukan maksiat, maka hendaklah dia membenci maksiat yang dilakukan itu dan jangan sekali-kali mencabut ketaatan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dll.)

4. Daripada Huzayfah bin al-Yaman r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

Akan ada selepasku para pemimpin yang tidak mengikut petunjukku dan tidak melakukan sunnahku. Akan ada di kalangan kamu pemimpin yang hatinya seperti hati syaitan dalam jasad manusia.” Aku (Huzayfah) bertanya, “Bagaimana harus aku lakukan jika aku sempat dengan suasana itu wahai Rasulullah?” Jawab baginda, “Kamu dengar dan taat walaupun dia (pemimpin itu) menyebat kamu dan mengambil harta kamu, hendaklah kamu dengar dan taat.” (Riwayat Muslim, al-Bayhaqi dll.)

5. Daripada `Ubadah bin al-Somit beliau berkata,

Kami telah membai`ah Rasulullah s.a.w. untuk dengar dan taat dalam keadaan kami suka atau benci, kami senang atau susah, mengutamakan pemimpin daripada diri kami dan untuk tidak menentang pemimpin melainkan terdapat kekufuran yang jelas hukumnya dalam agama Allah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

6. Daripada Abu Dzar bahawa Rasulullah s.a.w. berkata,

Wahai Abu Dzar, bagaimanakah kamu sekiranya nanti kamu berada di bawah pemimpin yang tamak dan tidak membahagikan harta al-faie ini?” Jawab Abu Dzar, “Demi Allah yang mengutuskan tuan dengan kebenaran, aku akan pikulkan pedang atas bahuku dan memeranginya sehingga aku bertemu tuan.” Baginda pun bersabda, “Mahukah jika aku tunjukkan kepadamu yang lebih baik daripada itu? Iaitu engkau bersabar sehingga engkau menemuiku.” (Riwayat Imam Ahmad, dalam sanadnya terdapat perawi bernama Khalid bin Wahaban, Ibnu Hibban menthiqqahkannya manakala Abu Hatim pula mengatakannya majhul)

Semua hadis di atas dan beberapa hadis lain yang berkaitan boleh didapati dalam kitab Nayl al-Awtor (7/171-173) oleh Imam al-Syawkani, kitab al-Tasyri` al-Jinai al-Islami (2/671-673) karangan Syeikh Dr. Abdul Qadir `Awdah dan juga kitab-kitab lain.

Terdapat beberapa takrifan yang dibuat oleh ulama Islam tentang al-Bughah (pemberontak bersenjata) seperti di bawah:

1. Mazhab Hanafi mentafrifkan al-Bughah sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin yang sah secara tanpa hak (tidak sah)’ (Hasyiyah Ibn `Abidin, 3/426; Syarhu Fath al-Qadir, 4/48)

2. Mazhab Maliki pula mentakrifkannya sebagai ‘sekumpulan orang Islam yang menentang pemimpin tertinggi (al-Imam al-A`zom) atau timbalannya untuk tujuan menghalang sesuatu hak yang wajib ke atasnya (al-Bughah) atau kerana pemimpin itu telah melakukan kesalahan.’ (Syarhu al-Zurqani, m.s. 60)

3. Al-Bughah pada mazhab Syafie pula bermaksud ‘orang-orang Islam yang menentang pemimpin secara kekerasan dan meninggalkan ketaatan atau enggan menunaikan hak yang wajib ke atas mereka, dengan syarat mereka (al-Bughah) itu memiliki kekuatan senjata, mempunyai alasan penentangan dan mempunyai ketua.’ (Nihayah al-Muhtaj, 8/382)

4. Manakala mazhab Hanbali pula mentakrifkannya sebagai ‘orang-orang yang keluar daripada mentaati pemimpin walaupun yang tidak adil, dengan alasan yang patut (ta’wil sa-igh) dan mereka mempunyai kekuatan senjata walaupun tidak mempunyai ketua.’ (Asna al-Matolib, 4/111)

5. Menurut mazhab al-Zahiri pula, ‘menentang pemimpin yang sah atas alasan yang salah dalam hal agama atau menentang kerana tuntutan keduniaan.’ (al-Muhalla, 11/97,98)

6. Syiah Zaydiyyah mentakrifkannya sebagai ‘orang yang berpegang bahawa pihaknya betul dan pemimpin salah lalu dia memeranginya dengan kumpulan yang ada kekuatan senjata.’ (al-Rawdh al-Nadhir, 4/331)

Dr. Abdul Qadir `Awdah berkata, “para ulama Islam tidak sekata dalam membuat takrifan tentang al-Bughah kerana mereka berselisih pendapat tentang syarat-syarat (bukan tentang rukun-rukun) sesuatu kumpulan itu boleh dikatakan melakukan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah. Walau bagaimanapun mereka bertungkus-lumus berijtihad untuk melahirkan suatu takrif yang disepakati yang meliputi rukun-rukun asasi yang menyebabkan sesuatu penentangan itu dikira pemberontakan (al-Baghyu). Maka satu takrif atau definisi yang disepakati oleh seluruh ulama Islam tentang al-Bughah ialah ‘penentangan terhadap pemerintah secara kekerasan.’ Dari sini bolehlah dikeluarkan tiga rukun asasi terhadap jenayah al-Bughah iaitu (1) menentang pemerintah; (2) penentangan secara kekerasan atau bersenjata; (3) ada niat melakukan jenayah.” (atau dalam istilah undang-undang barat disebut mens rea) (Dr. `Awdah, al-Tasyri` al-Jinai al-Islami, 2/674)

Setelah ketiga-tiga rukun asasi ini wujud pada gerakan penentang pemerintah, barulah mereka dikira al-Bughah dan wajiblah pemerintah mencegah perbuatan mereka secara hikmah, bukan terus menahan tanpa bicara, mencedera atau membunuh mereka. Ini berdasarkan ayat 9 Surah al-Hujurat yang tersebut di atas yang pertama sekali memerintahkan supaya diadakan perdamaian. Perdamaian ini boleh dicapai dengan pertemuan, perbincangan, muzakarah dan soal-jawab supaya semua pihak berpuas hati. Peluang mesti diberikan secara saksama kepada kedua-dua pihak untuk menyatakan pendirian mereka kepada umum, bukan hanya satu pihak (pemerintah) yang boleh menggunakan kemudahan kerajaan (yang merupakan hak semua rakyat yang membayar cukai) seperti siaran tv dan radio, akhbar-akhbar perdana, stadium, dewan-dewan serba guna dan sebagainya. Sekiranya kemudahan itu tidak boleh diberikan juga kepada rakyat pembangkang, batalkan peraturan mengutip cukai ke atas mereka dan jangan menghalang mereka untuk mewujudkan kemudahan siaran suara mereka sendiri dengan sekatan permit.

Sekiranya peluang untuk mereka bersuara secara sah disekat sedangkan itu adalah hak mereka yang wajib ditunaikan pemerintah, maka ada di kalangan mereka yang tidak mampu lagi duduk diam lalu keluar beramai-ramai di jalan raya secara aman tanpa senjata, ketika itu mereka TIDAK dikira sebagai al-Bughah dan pemerintah tidak berhak menghalang mereka untuk bersuara.

Apabila memberikan rakyat bersuara secara sah itu merupakan kewajipan, maka kerajaan yang tidak menunaikan kewajipan itu adalah kerajaan yang fasiq dan zalim. Mentaati pihak yang fasiq dan zalim adalah tidak wajib, bahkan rakyat wajib mencegahnya daripada terus berlaku fasiq dan zalim.

Tentang perkara ini Ibn `Abidin menyebutkan dalam kitabnya al-Durr al-Muhtar yang terkenal dengan nama Hasyiyah Ibn `Abidin (3/430) bahawa “keengganan untuk mentaati pemerintah dalam perkara maksiat bukanlah al-baghyu (pemberontakan), sebaliknya adalah menjadi kewajipan setiap muslim untuk tidak taat dalam maksiat, kerana tiada ketaatan melainkan dalam perkara makruf….” (Dr. `Awdah, ibid, m.s. 675)

Tindakan aktivis reformasi keluar berdemontrasi disebabkan mereka tidak diberi ruang untuk bersuara secara sah seperti pihak kerajaan dan penyokongnya miliki. Apatah lagi apa yang mereka ingin suarakan ialah tentang ketidakadilan pemerintah dalam membuat pendakwaan di mahkamah, rasuah, penyelewengan wang rakyat, penyalahgunaan kuasa, skandal pihak atasan, dan yang terbesar sekali ialah kezaliman yang amat jahat ke atas seorang yang besar jasanya kepada negara dengan membuat tuduhan zina dan liwat tanpa saksi. Jadi mereka adalah pejuang kebenaran, penyeru makruf pencegah mungkar, bukanlah al-Bughah, pemberontak atau penceroboh.

Sebaliknya, berdasarkan Surah al-Hujurat: 9 itu, dalam konteks pertikaian sekarang, pihak pemerintahlah yang telah memberontak dan menceroboh hak rakyat untuk berhimpun secara aman di bawah jaminan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, perlembagaan negara dan seluruh agama dunia. Jika pemerintah telah melakukan pencerobohan, maka ayat itu menyuruh “…jika salah satu kumpulan telah menceroboh ke atas kumpulan yang lain maka perangilah kumpulan yang menceroboh itu sehingga ia kembali kepada Allah (dengan meninggalkan perbuatan menceroboh)…”. Maka berdasarkan mesej daripada al-Quran ini, wajiblah setiap orang yang mengaku beriman dengan al-Quran menentang kumpulan yang menceroboh (iaitu pemerintah) ke atas kumpulan yang lain (rakyat yang tidak sehaluan dengan pemerintah).

Dalam kitab yang sama Dr. `Awdah berkata lagi, “Antara perkara yang disepakati oleh seluruh mazhab dalam Islam, bahawa tidak harus pemerintah memerangi al-Bughah sebelum diketahui sebab penentangan mereka. Apabila mereka mendakwa tentang kezaliman dan penyelewengan dan mereka benar dalam dakwaan itu, maka menjadi kewajipan pemerintah menghapuskan dulu kezaliman dan penyelewengan itu. Selepas itu barulah pemerintah menyeru mereka supaya kembali taat dan mereka wajib kembali taat (selepas kezaliman dan penyelewengan dihapuskan). Jika mereka enggan, maka pemerintah berhak memerangi mereka…” (ibid, m.s. 679)

Kalau demikianlah prosedur menghadapi golongan pemberontak bersenjata yang diajar oleh Islam (al-Bughah), maka tindakan aktivis reformasi TIDAK SEDIKIT PUN menjadikan diri mereka sebagai al-Bughah yang harus dihapuskan oleh pemerintah. Ini berdasarkan sebab-sebab berikut:

1. Mereka tidak bersenjata dan tidak menentang secara kekerasan, sebaliknya hanya cuba bersuara dan ingin menyatakan kepada rakyat umum tentang pendapat mereka yang tidak mendapat tempat di arena siaran perdana.

2. Mereka keluar untuk memberitahu rakyat akan kezaliman dan penyelewengan pemerintah.

3. Mereka hanya mengajak rakyat menukar pemerintah secara demokrasi kerana pemerintah kini tidak mengubah kemungkaran dan maksiat walaupun setelah berpuluh tahun dinasihati.

4. Pemerintah tidak mencuba untuk menghapuskan terlebih dahulu kezaliman dan penyelewengan yang didakwa, sebaliknya teruskan memukul, menangkap dan memenjarakan rakyat yang berhimpun untuk menentang kezaliman dan penyelewengan itu.

Sekiranya mereka bukanlah al-Bughah seperti yang diperuntukkan dalam syariah Islam, maka perbuatan ‘agamawan’ UMNO (tidak sesuai untuk dinamakan ulama) menggunakan nas-nas hadis tentang hukuman al-Bughah seperti di atas adalah satu perbuatan menyelewengkan amanat Nabi s.a.w. dan cuba mengadakan pendustaan di atas nama Islam.

Nampaknya agamawan UMNO seperti Astora Jabat, Wan Zahidi WanTeh, Mustafa Taib dan suku-sakatnya dalam JAKIM dan YADIM kerap menggunakan hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn `Abbas r.a. yang bermaksud “Sesiapa yang melihat sesuatu perkara yang tidak disukai daripada ketuanya maka hendaklah dia bersabar. Sesungguhnya sesiapa yang berpisah daripada jamaah walaupun sejengkal lalu dia mati maka matinya adalah mati jahiliyyah.

“Sesuatu perkara yang tidak disukai…” itu ditafsirkan oleh agamawan-agamawan terbabit sebagai semua perkara yang tidak disukai rakyat termasuk perkara maksiat dan kezaliman pemerintah. Menurut mereka, rakyat tidak harus sama sekali menentang pemerintah berdasarkan hadis ini. Rakyat kena bersabar sahaja.

Ini merupakan satu pendustaan dalam agama. Sebab pendustaan ini dilakukan mungkin kerana mereka jahil atau tidak cukup ilmu atau cuai tentang hadis lain yang mengkhususkan hadis ini, walaupun mereka tidak akan mengaku kejahilan mereka. Kalau benar mereka tidak jahil tentang hadis yang mengkhususkan itu dan mereka mengetahui serta sedar akan maknanya, maka sesungguhnya mereka telah melakukan kesalahan yang besar iaitu menjual agama Allah s.w.t. dengan dunia yang sedikit.

Kita mengatakan mungkin mereka jahil kerana mereka gagal menyelaraskan hadis yang membawa makna umum di atas dengan hadis yang mengkhususkan makna umum itu. Ajaran mereka itu menyebabkan berlaku percanggahan antara nas-nas yang sahih. Cuba kita lihat satu hadis lain yang boleh difahami sebagai bercanggah dengan hadis daripada Ibn `Abbas di atas jika tidak dilakukan penyelarasan antara hadis yang umum dengan hadis yang khusus. Hadis itu ialah yang bermaksud;

Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan, kalau tidak mampu, dengan lidah, kalau tidak mampu, dengan hati, yang demikian itu (cegah dengan rasa benci di hati) adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim daripada Abu Sa`id al-Khudri)

Apakah mungkin Rasulullah s.a.w. mengajar umat Islam dua perkara yang bertentangan? Dalam hadis Abu Sa`id al-Khudri ini baginda menyuruh sesiapa yang melihat kemungkaran (tanpa menyebut siapa yang melakukan kemungkaran itu) hendaklah dia mencegahnya setakat kemampuannya sama ada dengan tangan (kekuatan) atau lidah atau hati. Tetapi mencegah dengan hati adalah selemah-lemah iman. Adakah mungkin baginda menyongsang ajaran baginda sendiri dengan menyuruh supaya bersabar sahaja terhadap kemungkaran pemerintah sehingga mengkritik (mencegah dengan lidah) pun tidak boleh? Tidak mungkin!

Sebaliknya bila diteliti betul-betul keumuman makna “sesuatu perkara yang tidak disukai…” dalam hadis riwayat Ibn `Abbas itu khusus untuk perkara-perkara yang bukan kemungkaran seperti bentuk fizikal atau asal keturunan seseorang pemerintah itu. Ada pun bila pemerintah sendiri melakukan kemungkaran (yang sudah pasti rakyat yang beriman tidak menyukainya), maka mencegahnya dengan lisdah dan hati adalah wajib. Ini diperkuatkan lagi oleh sebuah hadis sahih yang lain yang bermaksud;

Dengar dan taatlah, walaupun pemerintah yang dilantik ke atas kamu merupakan seorang hamba kulit hitam yang kepalanya berbentuk seperti sebiji anggur.” (Riwayat al-Bukhari daripada Anas bin Malik)

Sifat-sifat fizikal luaran pemerintah inilah yang dimaksudkan dengan “sesuatu perkara yang tidak disukai…” dalam hadis Ibn `Abbas tadi, iaitu sesuatu perkara yang tidak disukai oleh rakyat tetapi bukan termasuk kemungkaran. Jadi hadis Ibn `Abbas itu ialah hadis umum yang makna sebenar hanya boleh difahami secara betul setelah dikhususkan oleh hadis Anas bin Malik tersebut. Kalau tidak dikhususkan, ia boleh bercanggah dengan maksud hadis Abu Sa`id al-Khudri pula. Dalam ilmu Usul al-Fiqh, percanggahan makna antara dua atau lebih nas yang sahih sebegini dipanggil al-ta`arudh. Masalah Al-ta`arudh ini mesti diungkai supaya semua nas yang sahih dapat diamalkan (ma’mul bihi)dan tiada mana-mana nas sahih yang terabai (muhmal). Tidak menjadi masalah kalau nas yang bercaggah itu adalah antara yang sahih dengan yang dhaif, kerana yang dhaif itu boleh dibuang terus. Tetapi jika kedua-duanya adalah nas yang sahih, maka adalah wajib ke atas orang yang beriman beramal dengan semua perintah wahyu yang sahih. Soalnya, bagaimana hendak beramal jika antara kedua-duanya ada percanggahan? Inilah yang perlu diselesaikan secara penyelarasan atau menghimpunkan (al-jam`u) antara nas-nas itu, iaitu nas yang umum dihimpunkan bersama nas yang khusus lalu dikeluarkan makna yang paling dekat dengan tujuan umum syariat (maqasid syar`iyyah).

Di sinilah terletak peri pentingnya kefahaman mendalam terhadap ilmu Usul al-Fiqh sebelum berhujah dengan mana-mana nas. Jika tidak, seseorang itu akan dilihat terumbang-ambing bila dibacakan nas lain yang bercanggah dengan maksud umum yang tidak dikehendaki dalam syariah. Inilah antara punca agamawan UMNO tidak stabil bila berhujah dan lebih suka berucap secara sehala kerana tidak berani menghadapi soalan daripada audiens. Kalau ada soal-jawab pun, jawapannya dilencongkan ke tempat lain daripada kehendak soalan si penyoal.

8. Penutup

Berdasarkan perbahasan di atas, bolehlah disimpulkan perkara-perkara di bawah:

i. Para aktivis dan penyokong gerakan reformasi yang berhimpun untuk membantah kezaliman dan penyelewengan kerajaan tidak boleh dikira sebagai pemberontak atau perusuh (al-Bughah) kerana mereka hanya menyuarakan pandangan yang lain daripada pihak kerajaan secara aman.

ii. Menggunakan hadis-hadis yang berkenaan hukum al-Bughah ke atas mereka seperti yang dilakukan oleh agamawan UMNO adalah perbuatan cuba menyelewengkan nas-nas agama untuk kepentingan pemerintah dengan balasan keduniaan.

iii. Penggunaan polis FRU untuk memukul, menendang, memancut air gatal terhadap penyokong reformasi dan penggunaan ISA untuk menceroboh rumah, menggeledah, merampas harta benda, menangkap tanpa waran dan menahan mereka tanpa bicara adalah tidak sah dan bertentangan dengan Islam. Dengan melakukan tindakan sedemikian polis telah memperhambakan diri kepada manusia yang melanggar perintah Allah s.w.t.

iv. Undang-undang draconian seperti ISA, Akta Hasutan dan seumpamanya (yang memelihara kepentingan pemerintah, bukan rakyat) adalah batil dan bercanggah dengan Islam serta haram mempertahankannya. Undang-undang seumpama itu hanya diamalkan ketika pemerintahan beraja berkuku besi zaman sebelum Islam dan juga zaman pertengahan di Eropah.

v. Menentang ISA (yang merupakan antara peraturan penjajah yang dikekalkan oleh UMNO/BN) adalah kewajipan setiap orang yang mengaku muslim dan setiap orang yang percayakan prinsip keadilan sejagat.

vi. Tidak harus rakyat menolong pemerintah yang zalim untuk menundukkan sekumpulan rakyat yang menentang kezaliman itu kerana itu bermakna tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan, bahkan menurut mazhab Malik, adalah wajib rakyat menolong penentang kerajaan yang zalim. (Syarhu al-Zurqani, 8/60)

Pelancaran Anti-ISA Movement (AIM) oleh Barisan Alternatif dan NGO adalah ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia. Semoga dengan munculnya gerakan seperti ini, rakyat akan sentiasa ingat kezaliman dan penderaan yang dialami oleh mangsa ISA, seterusnya membangkitkan semangat membenci dan menentang dalam jiwa mereka dan mereka tidak mudah lupa peristiwa lagi.

Akhir sekali saya memohon maaf di atas kelewatan menyiapkan rencana ini. Janji untuk menyiapkannya dalam masa beberapa hari hanya terlaksana setelah sebulan berlalu, disebabkan halangan-halangan yang tidak mampu saya elakkan. Inilah sahaja sumbangan kecil saya untuk membela mangsa ISA selama ini dan juga ahli keluarga mereka yang saya ibaratkan sebagai ‘seberat-berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’.

Sekian salam sejahtera daripada saya, wassalam `ala man ittiba`a al-huda.

alimuda@hotmail.com

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget
There was an error in this gadget