Sumber: Laman Web HafizFridaus
Pengenalan
Membedah pemikiran seseorang dari tulisannya (dan juga beberapa siri ceramah dan perdebatan) bukanlah suatu perkara yang mudah. Di samping kita tidak mahu berlaku tidak adil dengan beliau, kita juga tidak mahu bersikap acuh tidak acuh dengan kesalahan pendapatnya. Sebagaimana ulama-ulama dan ilmuan zaman silam dibedah dan dibersihkan pendapat mereka, maka tidak salah sekiranya pendapat penulis ruangan agama Utusan Malaysia ini kita bedah pemikiran dan method agamanya memandangkan ia banyak mendatangkan kontrovesi di dalam pemikiran moden umat Islam Malaysia masa kini.
Method pemikiran Astora
Method pemikiran Astora Jabat dinilai oleh penulis dari penulisannya, siri ceramah dan juga perdebatan secara peribadi melalui kaedah maya dengan beliau. Insya-Allah serba sedikit, tulisan ini bertujuan memberikan sedikit gambaran kepada kaedah atau manhaj yang digunakan oleh penulis bernama Astora Jabat
Method Pertama: Mendahulukan akal daripada naqal.[1]
Islam datang membebaskan akal manusia daripada tercengkam dengan pemikiran kolot, tahayul dan jumud.[2] Memelihara akal adalah di antara Maqosid (tujuan) syarak Islam. Namun begitu kebebasan yang diberikan oleh Islam bukanlah kebebasan mutlak melainkan kebebasan akal yang dipandu oleh nas Islam itu sendiri. Ini kerana akal bukanlah Tuhan yang membuat syariat untuk manusia dan menerangkan untuk mereka hukum-hukum agama mereka. Pandangan akal sepatutnya “tidak melampaui had kefahaman terhadap nas naqli. Sekiranya kita membenarkan akal melangkahi batasan nas naqli, maka nas naqli itu tidak ada faedahnya. Bahkan akan membawa kepada pembatalan syariah keseluruhannya kerana syariah membataskan bagi mukallaf dengan satu batasan yang mengandungi akidah kepercayaan, percakapan dan perbuatan”[3]
Berkata Al-Imam al-Syathibi:
Apabila bertembung naqli dan aqli dalam pelbagai masalah syarak, maka berdasarkan syarat, naqli didahulukan dan ia adalah diikuti. Akal dikemudiankan dan ia menjadi pengikut. Akal tidak akan diberikan ruang untuk menilainya melainkan dengan kadar yang dibentangkan kepadanya oleh naqli. [4]
Namun begitu, kecenderungan Astora Jabat menggunakan akal mendahului nas jelas dalam banyak tulisan beliau. Di antara yang kita dapat sebutkan di sini:
Pertama:
Mengambil pendapat dan pandangan akal semata-mata dan menganggapnya sebagai khilaf. Contoh yang ketara disiarkan oleh beliau di dalam majalan Al Islam keluaran Julai 2004 di bawah tajuk “Cerita karut dalam Israk Mikraj”. Di dalam artikel Julai ini, Astora memetik kata-kata berikut:
Di antara ulama sekarang yang percaya Israk dan Mikraj Rasullulah s.a.w secara jasad dan roh ialah Dr Ahmad Shalabi dari Kuliah Dar al-Ulum, Universiti Kaherah. Cuma beliau menolak beberapa kejadian ganjil (seolah-olah kejadian naik kelangit dan perjalanan ke baitul maqdis dari Mekah itu sudah tidak cukup ganjil –pen) dalam Israk Mikraj itu dan beliau menganggapnya sebagai cerita karut marut termasuk cerita Rasullulah s.a.w menunggang buraq”[5]
Astora menganggap pendapat Dr Ahmad Shalabi ini[6] di dalam buku “al Isra’ wal Mi’raj Dirasah Tashih Lilqadha’ ‘Ala as Shatahaat Wal Khayaal” sebagai perkara yang benar kekarutan, iaitu cerita Rasullulah s.a.w menunggang buraq. Tetapi, Astora tidak memberikan komentar bagaimana pandangan Dr Ahmad Shalabi mengenai hadis Muslim riwayat Anas b Malik r.a yang dipetiknya pada permulaan artikel ini. Hadis tersebut berbunyi:
Anas bin Malik berkata Rasullulah s.a.w bersabda “Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan badan sehingga perut buraq itu mencecah bumi. Baginda bersabda lagi “aku terus menunggangnya sehingga sampai ke BaitulMaqdis.” (Hadis sahih riwayat Muslim)
Adakah Astora menyatakan mana-mana ulama boleh membatalkan nas yang dibentangkan lantas ia menjadi khilaf? Malangnya method Astora mentarjih nas langsung tidak bertepatan dengan kaedah ilmu. Dia hanya mengemukakan pendapat ulama tersebut tanpa menukilkan hujah-hujahnya. Lantas terus membuat kesimpulan dari kata-kata Dr Ahmad Shalabi tersebut mengenai kekarutan Rasullulah s.a.w menunggang buraq. Apakah akal manusia dapat mengatasi naqal yang sahih? Inilah kecenderungan pendapat Astora yang tertolak.
Kedua:
Contoh kedua dalam mendahulukan logik akal[7] di atas nas ialah di dalam perbincangan mengenai azab kubur. Astora beranggapan bahawa azab kubur tidak wujud kerana salah satu hujahnya ia menyanggah logik akal. Menurutnya, bagaimana dengan manusia yang mati terbakar, meletup, hanyut dalam air dan sebagainya yang tidak mempunyai kubur? Apakah mereka tidak disiksa? Jelas inilah pemikiran yang mendahulukan akal dari nas. Astora gagal memahami bahawa pertama Allah mampu melakukan apa sahaja termasuk memberi ganjaran kubur kepada mereka yang tidak bertemu jasadnya dengan tanah (tidak mempunyai kubur). Kedua, jelas di sini kedangkalan dan kegagalan pemikiran dan ilmu Astora untuk memahami dan membezakan konsep kubur dan konsep alam barzakh.[8]
Ketiga:
Menyimpulkan suatu perkara lain dan lari dari maksud yang ditetapkan merupakan kaedah yang selalu digunakan oleh Astora. Dengan kata lain, apa yang selalu dilakukannya ialah sama ada mengambil kata-kata ulama luar dari konteksnya atau mengambil nas naqli dan kemudian mentafsirkan sendiri dengan akalnya tanpa sebarang rujukan bagi menyokong kata-kata tersebut.
Kita ambil contoh mudah apabila beliau memetik kata-kata Dr Yusuf Al Qaradawi daripada bukunya Malaamih al-Mujtama' al-Muslim allazi Nansyududuhu, bahagian ke lapan dan kemudian meletakkan tajuk utama artikel tersebut sebagai “Nabi suruh tolak hudud”[9] Namun begitu, bagi sesiapa yang membaca secara menyeluruh buku tersebut dan buku-buku lain karya Dr Yusuf Al Qaradawi akan memahami apakah maksud hadis nabi tersebut. Ia tidak lain membawa maksud bahawa sebarang pembuktian perlu dilakukan dengan memastikan bahawa hakim telah berpuas hati “melampaui keraguan munasabah” (beyond reasonable doubt) bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa. Prinsip ini juga merupakan prinsip penghukuman jenayah di dalam negara ini.[10] Sekiranya terdapat keraguan di dalam pemikiran hakim, maka si tertuduh akan terlepas atau mungkin dikenakan hukuman yang lebih ringan.
Kewujudan prinsip melampaui keraguan munasabah ini[11] di dalam hukum jenayah negara ini tidaklah bermakna bahawa hukuman jenayah tersebut tidak langsung wujud serta ditolak oleh si hakim dan perlembagaan negara ini. Begitu juga perihalnya dengan keraguan yang dimaksudkan oleh hukum hudud. Sekiranya terdapat keraguan di dalam pembuktian pertuduhan, contohnya zina, maka hukuman hudud tidak jatuh ke atasnya. Namun begitu, tidak bermakna, Rasullulah s.a.w, para sahabat, ulama terdahulu dan masa kini (termasuk Dr Yusuf Al Qaradawi) menolak hukum hudud dan kewajipan pelaksanaannya. Tetapi, dengan tajuk pada Utusan Malaysia sebegini besar, Astora Jabat sekaligus seolah-olah telah memberikan kesimpulan secara tersirat bahawa Dr Qaradawi cenderung untuk menolak hukum hudud.
Keempat:
Antara kecenderungan Astora Jabat yang lain ialah beliau tidak melihat hadis secara totalitas, juga tidak melihat pendapat ulama secara menyeluruh. Beliau mengambil sekadar yang perlu dan kemudian membiarkan akalnya memandu syarak dan bukan sebaliknya. Contoh terbaik yang dapat kita berikan ialah mengenai isu hadis Ahad. Hadis ahad ialah hadis yang diriwayatkan oleh kurang dari 3 jalan. Lantas ia di klasifikasikan sebagai hadis ahad. Hadis ahad ini ada yang berstatus sahih, hasan, dhaif dan maudhu’ (palsu) sesuai dengan method ukuran yang telah ditetapkan dalam ilmu hadis.
Ulama hadis tidak membezakan di antara hadis sahih dan selain darinya berdasarkan kepada ramainya perawi yang meriwayatkanya. Selagi mana hadis tersebut sahih, tidak kira ia ahad atau mutawatir, ia tetap diterima sebagai sumber aqidah dan hukum. Sebahagian ulama ushul terkemudian ada yang berpendapat hadis ahad tidak membawa ilmu yang yakin dalam persoalan aqidah. Namun pendapat ini hanya valid apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Jika hadis ahad tersebut memiliki pelbagai pembuktian yang lain atau telah menjadi iktikad umat sejak dari zaman Salaf, maka ia tetap dijadikan dalil dalam persoalan aqidah.
Namun begitu, Astora tidak berpandangan demikian. Akalnya menyatakan bahawa hadis ahad adalah hadis yang tertolak kerana bilangan perawinya yang sedikit.[12] Penolakan Astora ini juga sekaligus telah membakul sampahkan lebih 90% hadis-hadis yang terdapat di dalam kitab-kitab hadis. Beliau menolak penggunaan hadis-hadis ahad dalam masalah aqidah dengan berpandukan kata-kata ulama terkemudian tetapi gagal memahami apakah yang dimaksudkan oleh ulama-ulama tersebut akan syarat-syarat penolakan dan penerimaan hadis ahad dalam masalah aqidah.[13]
Method pemikiran Astora
Method Kedua: Menggunakan hujah khilaf dan keliru mengenai ijtihad
Khilaf[14], sepertimana menurut Astora di dalam artikel “Beramal hukum minoriti”[15] dan “Khilafiah itu sunatullah”[16], sememangnya adalah satu perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, pemahaman khilaf menurut kotak pemikiran Astora bermaksud “terdapat pandangan lain di dalam perkara itu tanpa mengira pandangan itu benar atau salah asalkan ia selari dengan pendapat saya”. Maksudnya di sini, Astora memetakan dan memprinsipkan khilaf itu, selagi mana ada pandangan lain di atasnya, ia menjadi khilaf. Beliau tidak mengambil kira sama ada pandangan tersebut shaz (ganjil), pelik, atau tertolak kerana berasal daripada aliran yang berada di luar aliran kita – Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Baginya, asalkan ada pandangan, apa sahaja nas yang digunakan (atau tidak digunakan) adalah tidak penting. Apa yang penting bahawa terdapat si fulan mengatakan bahawa perkara ini sekian, sekian lantas ia menjadi khilaf.
Astora menegakkan hujah-hujahnya dengan mengatakan bahawa pendapatnya pendapat minoriti dan tidak semestinya apabila ia bercanggah dengan majoriti atau jumhur ia tertolak. Berkata Astora:
Hakikatnya tidak semua hukum fiqah yang dianggap betul, kuat dan majoriti dianggap betul, kuat dan majoriti pada zaman ini…Begitu juga tidak semua hukum yang dianggap salah, lemah dan minoriti dianggap salah, lemah dan minoriti pada zaman ini.[17]
Pendapat ini benar pada prinsipnya tetapi salah pada pelaksanaannya di sisi Astora Jabat. Ini kerana:
Pertama: Astora meletakkan bahawa khilaf akan berlaku dalam semua perkara di dalam syariat Allah s.w.t.. Walhal sebenarnya “khilaf itu hanya berlaku dalam perkara yang cabang (furu’) dan perkara-perkara ijtihad, bukan dalam perkara dasar dan I’tiqad”.[18]
Maka oleh kerana terdapat “khilaf” ini, Astora menyatakan bahawa hukum fiqh yang tidak qatie (muktamad) bukanlah satu hukum yang datangnya dari Allah yang tidak boleh dipertikaikan. Menurutnya:
Kebanyakan hukum fiqh itu tertakluk kepada ruang zaman dan tempat yang berbeza di mana ia tidak boleh dipandang kudus atau suci seperti hukum yang muktamad daripada Allah dan Rasul-Nya. Dalam erti kata lain kebanyakan hukum fiqh boleh diterima dan ditolak. Selain ia juga perlu dinilai semula kerana terdapat banyak hukumnya yang tidak lagi dianggap sesuai dengan zaman dan tempat yang berbeza pada ketika ini.[19]
Kita mengakui bahawa terdapat ijtihad yang sesuai dengan satu-satu masa dan keadaan sahaja. Tetapi menyatakan bahawa hukum fiqh bukanlah hukum yang datang dari Allah dan Rasul-Nya adalah suatu pertuduhan yang berat. Ini seolah-olah Astora menuduh para ulama yang berusaha keras menggali dan meneliti hukum halal dan haram berijtihad di atas akal tanpa menyandarkannya kepada nas wahyu al-Qur’an dan al-Sunnah.
Sebenarnya perbezaan pendapat berlaku bukan semata-mata tidak ada nas di atas suatu permasalahan. Banyak sebab lain yang mengakibatkan perbezaan pendapat di dalam perkara fiqh. Di antaranya ialah “kepelbagaian bahasa arab yang digunakan sehingga berlaku lafaz dalil berbentuk mujmal (tidak detail) atau mushtarak (berkongsi makna) atau mempunyai dua maksud iaitu umun dan khusus atau makna haqiqi dan majazi atau makna hakiki dan makna mengikut adat (uruf) ataupun perbezaan ini berlaku kerana sesuatu lafaz yang kadang-kadang disebut secara mutlak (tidak terbatas) dan kadang-kadang secara muqayyad.” [20] Antara yang menyebabkan perbezaan pendapat ialah bentuk periwayatan yang berbeza dan ini berlaku – sebagaimana sebut Dr. Wahbah az Zuhaili – kerana lapan sebab seperti tidak sampai hadis kepada seseorang itu atau sampai dengan jalan yang dhaif pada seseorang tetapi sampai pada jalan yang sahih pada orang yang lain dan sebagainya.[21]
Kedua: Kegagalan Astora memahami maksud khilaf ini menyebabkan Astora memuatkan pendapat sesiapa sahaja, asalkan ia menyokong pandangannya, tanpa mengira dalil yang digunakan oleh orang tersebut. Asalkan seseorang itu bernama “Arab” dan menulis kitab “Arab”, maka pendapat dia diambil oleh Astora tanpa mengambil kira sama ada orang tersebut daripada aliran Ahl al-Sunnah atau selainnya[22], sama ada orang tersebut ahli hadis, ahli tafsir atau hanya sekadar pemikir jalanan yang ingin mencari populariti dengan pendapat yang “lain daripada kebiasaan.”
Ini baginya adalah satu khilaf dari pandangan ‘minoriti’ yang terdapat di dalam perundangan Islam. Tetapi hakikat sebenarnya, pandangan tersebut yang diambilnya bukanlah pandangan seorang mujtahid yang mampu berijtihad. Pandangan-pandangan yang dikatakan oleh Astora sebagai khilaf juga disandarkan (atau kadang kala langsung tidak mempunyai sandaran) kepada nas yang pelik atau pandangan mujtahid yang diambil di luar maksud sebenarnya. Ijtihad sebenarnya amat jauh dari pandangan yang diambil dari golongan yang Astora anggap sebagai golongan ‘minoriti’ ini.
Secara ringkasnya, pintu ijtihad tidak tertutup. Astora menganggap bahawa semua perkara boleh diijtihad dan dikhilafkan. Namun hakikatnya, ulama yang mujtahid hanya boleh mengijtihadkan perkara-perkara yang diberikan ruang untuk diijtihadkan.
Nas-nas syariah Islam ada yang bersifat Qatie dhilalah (pendalilan hukum secara muktamad) yang tidak membawa makna kecuali satu sahaja. Di antaranya ada yang dzonni dhilalah (pendalilan hukum secara samar-samar) yang membawa lebih dari satu makna.[23]
… nas-nas qatie datang dalam perkara yang terlepas dari tempat khilaf iaitu dalam perkara yang berkaitan dnengan asas-asas pokok bagi akidah. Qawaied Kulliyah[24] dan dalam hukum-hukum amali yang tidak berubah dengan masa dan tempat perkara ini tidak ada ruang ijtihad baginya.[25]
Sementara itu di dalam perkara dzonni, para ulama bukanlah berijtihad sehingga dikatakan mereka tidak menyandarkan ijtihad mereka di atas nas. Walhal para ulama ini pun berijtihad dalam kerangka dan batasan Qawaied kulliyah dan Maqosid syariah[26] untuk mengeluarkan hukum cabang yang bersesuaian dengan masa dan keadaan. Ijtihad mereka mungkin berbeza pada masa tersebut, tetapi Qawaied kulliyah dan maqosid ini tetap kekal dan kedua-dua perkara ini juga bersandarkan kepada al-Qur’an dan al-Sunnah. Maka tertolaklah dakwaan Astora bahawa ijtihad para ulama tidak datang daripada pemerhatian terhadap hukum-hukum Allah.
Benar, mungkin ijtihad dan pandangan mereka tersilap dalam meneliti dan melihat dalil atau kaedah-kaedah syarak. Tetapi ini tidak bermakna ijtihad ulama ini tidak disandarkan kepada nas lalu beralaskan akal semata-mata. Pandangan yang disandarkan kepada akal semata-mata atau berlawanan dengan kaedah umum di atas bukanlah satu khilaf yang diterima dalam perundangan.
Penutup
Pada analisa saya, method pemikiran dan perbahasan Astora sebagaimana yang saya uraikan di atas mungkin terjadi kerana dua sebab, yang pertama lagi yang paling ketara ialah gagal memahami maksud dan kaedah fiqh, hadis, khilaf dan kaedah-kaedah syarak yang lain.
Kedua, mungkin untuk melariskan lagi jualan majalah dan surat khabar majikannya yang akhirnya membawa pulangan material yang baik kepada beliau. Tidak ketinggalan juga ialah tujuan kepentingan politik, pengampuan terhadap pemimpin-pemimpin tertentu dan sebagainya.
Semoga Allah s.w.t. mengampuni saya seandainya analisa saya di atas adalah tidak tepat. Namun seandainya ia benar, maka saya berharap para pembaca sekalian dapat berhati-hati terhadap kotak pemikiran Astora Jabat.Pada waktu yang sama, saya harap Astora Jabat dapat membetulkan saya seandainya analisa saya tidak tepat. Namun seandainya ia tepat, saya berdoa agar Astora Jabat kembali bertaqwa kepada Allah dan bertaubat daripada menggosipkan ilmu-ilmu agama demi kebaikan umat.
[1] Yang dimaksudkan dengan naqal/naqli ialah sumber wahyu: al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.
[2] Rujuk surah al Baqarah: 164, Ali Imran: 190-191 dan sebagainya.
[3] Mu’awwiyat Tathbiq Al Syariah (Halangan-halangan Pelaksanaan Syariah Islam) oleh Prof. Manna’ Khalil Al Qathtahn terjemahan Maktabah al Qaradawi 1998 ms 121-122. Rujuk juga Al Muwafaqat Juzuk 1
[4] Al Muwafaqat Juzuk 1 ms 49-50
[5] Al Islam Cerita karut Marut dalam Israk dan Mikraj oleh Astora Jabat Julai 2004 ms 29
[6] Jika benar seperti dakwaan Astora mengenai tulisan ini kerana Astora memang terkenal cenderung mengambil pendapat di luar konteks apa yang dibincangkan.
[7] Padahal akal manusia itu terbatas seperti deria manusia yang lain. Untuk perbincangan lanjut mengenai perkara ini boleh mendapati buku yang ditulis oleh Ustaz Ali Tantawi bertajuk “Islam yang semestinya di fahami” terbitan dan terjemahan Pustaka Salam Malaysia.
[8] Perbincangan alam barzakh telah banyak dibincangkan oleh ulama dahulu dan masa kini. Secara asasnya alam barzakh bukanlah kubur seperti yang kita lihat ditanah-tanah perkuburan. Rujuk juga artikel mengenai azab kubur oleh Ustaz Dr. Abdullah Yasin dan Ustaz Dr. Mohd. Asri dalam buku ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Alam Barzakh ini.
[9] Utusan Malaysia 2hb Ogos 2002
[10] Secara asasnya pendakwaraya mestilah membuktikan “melampaui keraguan mubasabah” bahawa tertuduh telah melakukan kesalahan seperti yang didakwa. Sekiranya pendakwaraya gagal memenuhi prinsip ini, maka hakim wajib menggugurkan tuduhan dan menganggap tertuduh tidak bersalah.
[11] Wujud juga prinsip “adalah lebih baik membebaskan sepuluh orang yang bersalah daripada menghukum seorang yang tidak bersalah” di dalam undang-undang jenayah.
[12] Kurang daripada 3 orang perawi dalam satu-satu hadis.
[13] Pencerahan mengenai perkara ini telah diterangkan secara panjang lebar oleh Hafiz Firdaus dalam artikelnya berkenaan hadis ahad dalam buku ini.
[14] Perselisihan pendapat atau ikhtilaf yang membawa maksud pandangan yang berbeza.
[15] Utusan Malaysia Beramal Hukum Minoriti 30hb Mei 2004
[16] Utusan Malaysia Khilafiah itu sunatullah 23hb Mei 2004
[17]ibid.
[18] Dr Wahbah Az Zuhaili Fiqh dan perundangan Islam (terjemahan DBP 1997), jld 1, ms 49
[19] ibid
[20] ibid ms 50-51
[21] ibid ms 52 Banyak lagi perbezaan lain seperti perbezaan sumber, perbezaan usul fiqh, ijtihad dan qiyas, dan percanggahan dan tarjih antara dalil-dalil.
[22] Sebagaimana pesan Rasulullah s.a.w., umat Islam akan berpecah kepada pelbagai aliran, yang benar dan selamat ialah aliran Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah atau ringkasnya Ahl al-Sunnah. Terdapat banyak aliran lain yang menyimpang daripada Ahl al-Sunnah seperti Mu’tazilah, Khawarij, Jahmiyah, Syi’ah al-Rafidhah, Murji‘ah dan sebagainya. Apa yang lazim dilakukan oleh Astora ialah mengambil pendapat mana-mana tokoh yang disukainya tanpa membezakan aliran tokoh tersebut.
[23] Mu’awwiyat Tathbiq Al Syariah ms 123
[24] kaedah yang terangkum di dalamnya segala masalah yang berkaitan.
[25] Ibid
[26] Matlamat atau tujuan syarak.
No comments:
Post a Comment